
Sebanyak 12 bot nelayan asing dilupuskan di perairan Terengganu untuk dijadikan tukun tiruan sepanjang tahun ini, kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kapten Maritim Hamiludin Che Awang.
Beliau berkata bot-bot yang telah dilucut hak itu dilupuskan menerusi kaedah musnah pecah dan tenggelam dengan nilai keseluruhan perolehan dianggar berjumlah RM1.7 juta.
“Pelupusan secara lestari ini dilaksanakan bagi menyokong usaha pemuliharaan ekosistem marin serta memperkayakan biodiversiti hidupan laut,” katanya.
Manakala dua daripada 12 bot berkenaan ditenggelamkan di kawasan perairan Pulau Rhu melibatkan vesel Vietnam yang dirampas pada tahun lalu dengan anggaran perolehan sekitar RM420,000.
Hamiludin berkata semua bot itu hasil penguatkuasaan pada tahun lalu dengan tukun tiruan daripada kaedah berkenaan merupakan alternatif mesra alam dalam melupuskan bot yang tidak boleh lagi digunakan.
Beliau berkata proses pelupusan dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal bagi memastikan aspek keselamatan, undang-undang dan perlindungan alam sekitar dipatuhi sepenuhnya.