
Di dalam artikel terdahulu kami bawakan mengenai Leapmotor A10 atau B03X, SUV dengan panjang 4.2 meter.
Dengan sambutan hangat Proton e.MAS 5 yang begitu menggalakkan dan kemudian dirancakkan lagi dengan pelancaran Wuling Bingo EV pada harga RM63 ribu sehingga RM68 ribu pasaran kenderaan elektrik bandar semakin mereiah.
Leapmotor juga mempunyai penawaran yang menarik di Eropah dan China iaitu T03.
Model ini menggabungkan rekaan ceria, teknologi terkini serta pengalaman digital bersepadu, menjadikannya pilihan praktikal dan menyeronokkan untuk pengguna urban moden.
Saiz Untuk Bandar
Saiz kompak T03 memudahkan pergerakan di laluan dan parkir sempit namun ruang dalaman kereta ini praktikal untuk kegunaan harian mahupun perjalanan hujung minggu.
Rekaan luaran tampil ceria dan segar, comel dengan warna Mint Green yang melambangkan kegembiraan, kehidupan yang baik serta kelestarian.
Leapmotor memaklumkan ruang kepala kereta ini setaraf SUV C, membolehkan dua orang dewasa setinggi sehingga 190 cm duduk dengan selesa.
Bumbung Panoramik 42 inci memberikan rasa ruang terbuka dan kabin dengan cahaya semula jadi.
Dari segi simpanan, sistem Magic Space membolehkan ruang kargo berkembang daripada 210 liter kepada 508 liter
Keseluruhannya, Leapmotor T03 menawarkan ruang dalaman yang lapang dan selesa, meskipun berada dalam kategori kereta bandar.
Teknologi Digital
Leapmotor T03 direka untuk generasi yang sentiasa berhubung, dengan sistem digital yang memudahkan kawalan dan meningkatkan keselesaan, sama ada ketika memandu atau ketika berada jauh dari kenderaan.
- Skrin Sentuh 10 inci menjadi pusat kawalan utama untuk navigasi, hiburan, tetapan kenderaan dan kawalan pendingin hawa.
- Kawalan Jarak Jauh Melalui Aplikasi membolehkan pengguna mengunci dan membuka pintu, pra-tetap suhu kabin serta memantau status bateri dari mana-mana lokasi.
- Kemas Kini OTA (Over-the-Air) memastikan kenderaan sentiasa menerima penambahbaikan ciri, prestasi dan keselamatan tanpa perlu ke pusat servis.
Sistem Bantuan Pemanduan
Aspek keselamatan diberikan keutamaan menerusi teknologi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang dipaparkan melalui antara muka 2D pandangan atas yang ringkas dan moden.
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) – Mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan secara automatik.
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) – Memberi amaran awal sekiranya terdapat risiko pelanggaran di bahagian hadapan.
- Brek Kecemasan Automatik (AEB) – Mengaktifkan brek secara automatik dalam situasi kecemasan bagi mengurangkan risiko pelanggaran.
- Amaran Keluar Lorong (LDW) – Memberi amaran apabila kenderaan dikesan keluar dari lorong tanpa penggunaan isyarat.
- Pengesanan Titik Buta (BSD) – Memantau kawasan titik buta untuk membantu pertukaran lorong yang lebih selamat.
Gabungan sistem ini mewujudkan tahap perlindungan aktif yang menyeluruh untuk pemanduan harian di bandar.
Jarak dan Prestasi
Leapmotor T03 bukan sekadar efisien, malah direka untuk memberikan pengalaman pemanduan yang responsif dan menyeronokkan dalam persekitaran bandar.
- Motor elektrik berkuasa 70 kW dengan pecutan 0–50 km/j dalam 3.7 saat, sesuai untuk trafik bandar dan persimpangan.
- Agihan berat seimbang memastikan kestabilan dan pengendalian yang kemas dalam setiap selekoh.
- 3 mod pemanduan dan 3 mod stereng membolehkan pemandu menyesuaikan karakter pemanduan mengikut keperluan dan gaya masing-masing.
- Jarak pemanduan WLTP sehingga 265 km, dengan pengecasan pantas DC dari 30% ke 80% dalam 36 minit.
Harga
Untuk pasaran United Kingdom, T03 ditawarkan pada harga mampu milik iaitu GBP15,995 (RM87,469.14).
Selepas pelancaran e.MAS 5 dan Bingo EV, segmen EV pada harga di bawah RM100 ribu masih terbuka untuk disaingi.
Leapmotor Malaysia mempunyai dua model iaitu B10 dan C10 dan mempunyai ruang untuk menawarkan lebih banyak produk. Ada yang berminat?



































