Tampar lelaki stesen minyak, polis sahkan anggota sedang bercuti

10

Individu terlibat dalam insiden seorang lelaki ditampar di sebuah stesen minyak di Taman Perling, Johor Bahru, semalam disahkan seorang anggota polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 petang.

“Individu itu dikenal pasti sebagai anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan sedang bercuti ketika kejadian,” katanya. 

Setakat ini, Azrol Anuar berkata polis belum menerima laporan berkaitan insiden itu, namun mangsa sudah dikenal pasti dan usaha sedang dijalankan untuk mengesannya bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis memandang serius dakwaan kesalahan atau salah laku yang melibatkan pegawai dan anggota pasukan itu, sekali gus memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil serta berintegriti.

“Satu siasatan dalaman telah dibuka dan tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, peraturan atau tatakelakuan yang ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 33 saat tular memaparkan seorang penunggang motosikal yang sedang membonceng seorang wanita, ditampar seorang lelaki didakwa sebagai anggota polis dalam kejadian di sebuah stesen minyak.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here