
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor menyita sebuah kenderaan persendirian yang dijadikan prebet sapu warga asing sekitar kawasan Bakri, Muar menerusi Ops Kereta Sapu, pada Ahad.
Menurut kenyataan media, seramai tiga orang anggota penguat kuasa ditugaskan bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan susulan aduan yang tular di media sosial berkaitan aktiviti kereta sapu melibatkan warga asing.
“Hasil pemeriksaan kenderaan persendirian itu ditahan kerana menjalankan perkhidmatan awam tanpa lesen dengan membawa penumpang warga asing ke lokasi yang ditetapkan serta menerima bayaran tambang.

“Kenderaan berkenaan kemudiannya telah diiring ke Pejabat JPJ Cawangan Muar untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan.
Sehubungan itu, notis di bawah Seksyen 80, Seksyen 222 dan Seksyen 224 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan atas kesalahan Seksyen 16(1) APAD 2010, iaitu mengadakan perkhidmatan kenderaan awam tanpa lesen pengendali yang sah.
Selain itu, kenderaan persendirian tersebut turut disita di bawah Seksyen 80(1) APAD 2010.





























