
Di Malaysia, jentera neo-retro ini dikenali sebagai Honda CB350 namun di beberapa pasaran tertentu seperti Jepun dan UK, ia terkenal dengan nama GB350.
Di UK, jentera ini bersaing dengan beberapa model terkenal seperti Triumph Speed 400 dan BSA Bantam 350.
Sepanjang tahun 2025, Honda GB350S telah dinobatkan sebagai motosikal moden klasik yang paling laris terjual di UK, lapor laman VisorDown.
Malah, motosikal tersebut mengungguli carta tertinggi selama tujuh bulan berturut-turut sebelum kedudukannya dirampas oleh Triumph Speed 400 pada bulan Ogos dan BSA Bantam 350 pada bulan Oktober.
Angka jualan yang paling tinggi pernah dicatatkan pada bulan Mac, di mana sebanyak 299 unit GB350 terjual berdasarkan rekod daripada MCIA (Motorcycle Industry Association).
Honda GB350 dikuasakan oleh enjin sesaran 348 cc menghasilkan 20 PS pada 5,500 rpm dan daya kilas 29 Nm pada 3,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi lima-kelajuan.






























