
Berbanding Civic Type R FK8, Civic Type R FL5 menawarkan rekaan luaran yang lebih minimalis.
Akan tetapi, jika anda mahukan sesuatu yang lebih garang boleh dapatkan kit badan ARTA GT yang dihasilkan oleh Autobacs Seven, salah sebuah pengeluar komponen aftermarket terbesar di Jepun.
Kit yang direka oleh pasukan perlumbaan ARTA Civic Type R Super GT 500 ini merangkumi komponen seperti bampar depan yang telah disemak semula, splitter, canard aerodinamik, serta hud enjin berliang serba baharu.
Keempat-empat gerbang roda dihiasi dengan penambahan fender yang lebih lebar diikuti dengan rim kustom.
Untuk bahagian belakang pula terdapat sayap yang lebih agresif, diffuser, serta sistem ekzos baharu dengan dua muncung yang lebih besar.
Autobacs turut menjanjikan peningkatan prestasi dengan menawarkan talaan kepada enjin asal 2.0 liter turbo, diikuti dengan intercooler baharu.
Sistem brek asal Brembo digantikan dengan tetapan AP Racing, sementara suspensi asal FL5 turut dinaik taraf menjanjikan pengendalian yang lebih baik.
Akhir sekali, ruang kabin diberikan roda stereng gentian karbon yang diinspirasikan daripada sukan permotoran.
Kit ARTA GT ini dijual pada harga 13.5 juta yen (RM348 ribu), jauh lebih mahal berbanding kos sebuah Honda Civic Type R standard di Jepun.
Hanya 20 unit sahaja kit ini yang akan diproduksikan.































