
Nampak macam motosikal kustom yang diilhamkan daripada karya mendiang Akira Toriyama, tapi bukan sebenarnya.
Ini ialah Ciulator yang dihasilkan oleh sebuah syarikat motosikal elektrik daripada Korea Selatan, iaitu Compass Rose.
Ciulator merupakan sebuah motosikal elektrik neo-retro yang menggabungkan rekaan cafe racer British era 50-an dengan teknologi termaju.
Terdapat dua versi, iaitu versi litar dan standard.
Versi litar dikuasakan oleh motor elektrik dalam hab roda berkuasa 34 hp yang mampu menjana daya kilas puncak 350 Nm.
Ia mampu mencapai kelajuan maksimum 240 km/j.
Pek bateri Samsung 72-V/150-Ah pula menawarkan jarak tunggangan sehingga 150 km.
Sementara versi standard pula dilengkapi motor elektrik 10 hp dengan kelajuan maksimum 150 km/j, dan jarak tunggangan 130 km terima kasih kepada pek bateri 100-Ah.
Kesemua komponen yang digunakan pada Ciulator bukan calang-calang, seperti contoh kerangka keluli tiub Reynolds 953, panel badan gentian karbon penuh serta balutan kulit Cordovan pada pelana.
Sayang sekali, jentera istimewa ini hanya boleh dibeli di Korea Selatan dengan kos bermula sekitar KRW 66 juta (RM181 ribu).































