
Melakar pencapaian penting dalam strategi pengembangan hibrid, Honda Malaysia rasmi melancarkan CR-V baharu menerusi dua pilihan varian hibrid.
CR-V kini tersedia dalam varian e:HEV E baharu dan varian utama e:HEV RS, sekali gus memperkukuh komitmen Honda membawakan mobiliti elektrik termaju dan pengalaman ‘Fun To Drive’ kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata CR-V telah lama menjadi model utama dan tunjang kejayaan Honda Malaysia.
“Tahun ini, kami meningkatkan lagi daya tarikannya dengan varian hibrid baharu dan ini menekankan komitmen berterusan kami untuk menjadikan hibrid Honda lebih mudah diakses oleh pangkalan pelanggan yang lebih luas,” jelasnya.

Varian hibrid dikuasakan oleh enjin 2.0L e:HEV dengan output 184PS dan tork 335Nm. Direka untuk memenuhi keperluan sebuah SUV, rangkaian kuasa ini menawarkan prestasi hibrid yang lancar, berkuasa, dan cekap.
Meningkatkan lagi pengalaman pengendalian, sistem beralih secara lancar antara tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive manakala varian e:HEV menampilkan mod Individual Drive yang eksklusif.
SUV segmen-C itu juga menerima tambahan warna badan baharu Blazing Red Pearl serta rim aloi 18-inci eksklusif dalam warna Berlina Black (hibrid), manakala varian turbo dilengkapi dengan rim aloi 18-inci berwarna Sparkle Silver.
Semua varian kini didatangkan standard dengan filem pelindung cermin keselamatan dan solar Honda yang diiktiraf oleh ECOTINT.
Sementara itu, ruang kabin CR-V e:HEV RS kini menampilkan kemasan filem hairline yang lebih gelap pada papan pemuka, menaikkan suasana dalaman dengan rasa lebih premium dan tempat duduk yang dihiasi logo RS, memperkukuh karakter sporty.

Ia turut didatangkan dengan ciri baharu bagi semua varian melibatkan sistem paparan audio lanjutan 9-inci dengan sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto.
Dengan Perkhidmatan Audio Google yang disepadukan, pemandu boleh menikmati Google Assistant bebas tangan, navigasi masa nyata melalui Google Maps, dan akses kepada pelbagai aplikasi melalui Google Play.
Buat kali pertama, Honda Malaysia memperkenalkan ciri kunci digital buat CR-V Baharu, yang membolehkan pemilik mengunci dan membuka pintu kenderaan serta menghidupkan enjin melalui peranti mudah alih.
Selain itu, ciri kawalan jauh seperti penutup tingkap dan pintu belakang berkuasa disepadukan ke dalam aplikasi mudah alih Honda CONNECT untuk CR-V Baharu.
Demi ketenangan minda pemilik, kesemua varian didatangkan dengan ciri keselamatan Sistem Maklumat Titik Buta (BSI) dan Monitor Trafik Lintas (CTM).
Harga CR-V baharu adalah seperti berikut :
- 2.0L e:HEV RS : RM195,900
- 2.0L e:HEV E : RM178,200
- 1.5L turbo V : RM181,900































