
Boon Siew Honda memperkenalkan kemas kini 2026 bagi ikon adventure mereka – Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES.
Dengan harga bermula RM99,888, model ini didatangkan dengan pembaharuan visual lebih segar, penambahbaikan teknikal khusus untuk penunggang jarak jauh dan pencinta eksplorasi.

Semua ini memperlihatkan strategi berfokus Honda bagi mengukuhkan dominasi dalam segmen adventure premium tempatan melalui prestasi dan touring ekstrem.
Mampu Rentas Segala Sempadan
Africa Twin 2026 memiliki grafik dan jalur rekaan baharu yang lebih menyerlah, namun perubahan paling penting terletak pada talaan enjin dan sistem elektronik.
Dengan enjin Parallel-Twin 1,084cc nisbah mampatan 10.5:1 serta talaan injap dikemas kini, model ini mampu menghasilkan 75kW (sekitar 102hp) pada 7,500rpm dan tork puncak 112Nm pada 5,500rpm.

Karakter kuasa linear dan kuat pada julat pertengahan menjadikannya sesuai untuk lebuh raya mahupun laluan off-road teknikal.
Padanan roda hadapan 19-inci dan pusat graviti lebih rendah membantu meningkatkan kestabilan serta keyakinan ketika menukar arah di pelbagai permukaan.
Elektronik Terkini, Suspensi Separa-Aktif
Model ini dilengkapi Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi bersama sistem Throttle-By-Wire menawarkan empat mod tunggangan: Tour, Urban, Gravel dan Off-Road.
Sistem ini mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC) tujuh tahap, Wheelie Control serta Cornering ABS untuk tahap keselamatan maksimum.
Model Adventure Sports ES turut dilengkapi suspensi elektronik Showa EERA sebagai standard, membolehkan pelarasan redaman masa nyata melalui mod Hard, Mid, Soft dan Off-Road.

Sistem ABS belakang juga boleh dinyahaktif untuk kawalan lebih bebas ketika tunggangan lasak.
Keselesaan Touring Bernilai Premium
Bagi tunggangan jarak jauh, Africa Twin didatangkan bersama transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) yang memberikan rasa klac lebih lembut dan lancar.
Tempat duduk premium boleh dilaras antara 820mm hingga 840mm tanpa alatan, manakala pelindung angin boleh laras lima tahap membantu mengurangkan keletihan ketika meredah perjalanan jauh.
Paparan skrin sentuh TFT 6.5-inci menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, membolehkan navigasi dan komunikasi diakses terus dari kokpit.
Model ini ditawarkan dalam dua warna iaitu Pearl Glare White dan Matte Iridium Gray Metallic pada harga cadangan RM99,888 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).






























