Utama Berita Automotif Lepas menang AXCR 2025, Mitsubishi bakal jual Triton Championship Edition

Lepas menang AXCR 2025, Mitsubishi bakal jual Triton Championship Edition

11

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bakal memperkenalkan Triton Championship Edition – edisi khas – diinspirasikan hasil kemenangan jenama itu dalam Asia Cross Country Rally (AXCR).

Triton Championship Edition akan ditawarkan dalam dua model — Triton Athlete dan Triton AT Premium pada 11 Mac 2026.

Dibangunkan untuk mengenang prestasi Mitsubishi Motors di AXCR 2025, Triton Championship Edition mencerminkan warisan sukan permotoran yang kuat dan menyerlahkan ketahanan, keupayaan, serta kejuruteraan terbukti.

Model edisi kejuaraan ini ditawarkan secara rasmi sebagai satu pakej menggabungkan spesifikasi dipertingkat, gaya tersendiri dan elemen sukan permotoran yang tidak terdapat pada model Triton standard.

Dengan jumlah pengeluaran terhad, pelanggan diberi peluang memiliki Triton yang mempunyai nilai tambah, ciri dipertingkat, dan pengalaman pemilikan lebih unik.

Triton Athlete — Kuasa Mengagumkan dengan Penampilan Dominan

Triton Athlete edisi kejuaraan ini memperkukuh rasa pemilikan premium, berkuasa dan beraspirasi.

Kemasan warna Jet Black Mica pada 150 unit eksklusif ini dibina dengan teliti untuk mengukuhkan keyakinan di jalan raya.

Peningkatan yang dilakukan turut mengambil kira aspek praktikaliti, manfaat harian dengan penglihatan lebih baik di ruang parkir bandar yang sempit, cengkaman luar jalan (off-road) yang lebih baik semasa percutian hujung minggu, dan persekitaran kabin yang terasa premium.

Penambahan luaran termasuk:

  • Pelekat badan (decal) yang tersendiri
  • Tayar All-Terrain (AT) yang bukan sahaja menonjolkan gaya berotot tetapi juga meningkatkan cengkaman dalam pelbagai keadaan pemanduan.

Di bahagian dalam, pemilik menikmati:

  • Sistem infotainmen 9-inci untuk ketersambungan dan kemudahan yang lebih baik
  • All-Round Monitor (Monitor Persekitaran) yang meningkatkan penglihatan dan keyakinan semasa bergerak secara signifikan
  • Sarung penyandar kepala estetik “Championship” yang diinspirasikan daripada warisan rali Mitsubishi.

Triton AT Premium — Gaya Hidup Sporty dengan Tenaga Sukan Permotoran

Triton AT Premium edisi kejuaraan ini direka untuk pemandu yang inginkan ekspresi sporty menonjol dalam suasana perniagaan mahupun gaya hidup.

Tersedia eksklusif dalam warna White Diamond, ia menampilkan:

  • Rim sukan hitam 18-inci
  • Styling bar
  • Kemasan bampar depan bahagian bawah (Front lower bumper garnish)
  • Pelekat badan (decal) yang tersendiri
  • Sarung penyandar kepala estetik “Championship”.

Terhad kepada 120 unit sahaja, model ini memberikan perincian berinspirasikan sukan permotoran di samping ketahanan, pengendalian mantap, dan keselesaan yang sinonim dengan Triton.

Harga dan Tawaran Pelancaran

Triton Athlete dan Triton AT Premium edisi kejuaraan masing-masing dijual pada harga RM169,980 dan RM155,980 (harga atas jalan tanpa insurans).

Sempena pelancaran ini, pelanggan yang menempah mana-mana model akan menerima sarung kunci (key fob case) eksklusif dan set pelekat sukan permotoran — sekali gus meningkatkan lagi rasa eksklusif dalam komuniti Mitsubishi yang berinspirasikan prestasi.

Triton Athlete:

  • Versi output tinggi dengan sistem pengecas turbo dua peringkat 2.4L menghasilkan output maksimum 204PS (150kW) dan tork maksimum 470Nm pada julat putaran rendah (rev range).

Triton AT Premium:

  • Dilengkapi Turbo Diesel 2.4L 4N16 yang menghasilkan output maksimum 184PS dan tork maksimum 430Nm.

Prestasi Jalan Raya Dipertingkat

Sistem 4WD membolehkan pemandu menukar mod dengan mudah menggunakan tombol pemilih.

Triton Athlete dilengkapi dengan Super Select 4WD-II, manakala varian lain menggunakan sistem Easy Select 4WD.

Triton Athlete juga memperkenalkan sistem Active Yaw Control (AYC) yang meningkatkan prestasi mengambil selekoh dengan mengenakan brek ringan pada roda hadapan sebelah dalam, sekali gus meningkatkan keselamatan di permukaan licin dan memberikan pengalaman pemanduan yang lebih sporty.

Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS)
Triton Athlete dilengkapi dengan rangkaian sistem keselamatan komprehensif seperti:

  • Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan (FCM)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Kawalan Luncur Adaptif (ACC)
  • Amaran Titik Buta (BSW) dengan Bantuan Tukar Lorong (LCA)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Ciri standard pada semua model termasuk Kawalan Kestabilan & Cengkaman Aktif (ASTC), Kawalan Menurun Cerun (HDC), dan Bantuan Mula Mendaki (HSA).

Mitsubishi Ralliart Juara AXCR 2025

Pasukan Mitsubishi Ralliart memenangi tempat pertama dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2025 yang berlangsung di Thailand pada 8 hingga 16 Ogos.

Pasukan ini bertanding menggunakan trak pikap Triton (spesifikasi T1), meliputi jarak keseluruhan 2,316.32 km.

Pemandu Chayapon Yotha merangkul tempat pertama secara keseluruhan, manakala pasukan itu turut memenangi Anugerah Pasukan buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.

TIADA KOMEN

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here