
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) secara rasmi memulakan pengeluaran pemasangan tempatan (CKD) Mitsubishi Xforce di kemudahan Pekan, Pahang.
Bagi menyokong pencapaian tersebut, MMM menaik taraf operasi termasuk penubuhan bengkel sub pemasangan badan baharu serta pemasangan peralatan canggih di bahagian mengecat, kelengkapan dan barisan pengujian khusus untuk menyokong pengeluaran Mitsubishi Xforce.
Menurut MMM, pengeluaran XForce di Pekan dijalankan mengikut piawaian pengeluaran global Mitsubishi Motors yang dibangunkan melalui kepakaran pembuatan Jepun selama berdekad.
“Daripada pemasangan badan kenderaan sehinggalah ke peringkat pengecatan dan pemeriksaan akhir, setiap proses dikawal oleh ketukangan yang berdisiplin dan kawalan kualiti yang ketat bagi memastikan kualiti binaan, ketahanan, dan kebolehpercayaan jangka panjang yang konsisten.
“MMM mensasarkan untuk menghantar 800 unit pertama Mitsubishi Xforce serba baharu pada April, selepas selesai segala pengesahan kualiti yang komprehensif dan pemeriksaan kesediaan pengeluaran,” jelasnya.
Selain itu, tempahan untuk Mitsubishi Xforce serba baharu ini akan dibuka pada minggu ini dan pengenalan SUV segmen-B itu mengukuhkan komitmen berterusan MMM terhadap pengembangan produk dan pembuatan tempatan yang maju.





























