
Chery Corporate Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama Touch ‘n Go (TNG) bagi mempercepat pelaksanaan mobiliti digital berasaskan Identifikasi Frekuemsi Radio (RFID) di Malaysia.
Menerusi perjanjian itu, tag RFID ditawarkan secara pakej bersama model terpilih Chery seperti OMODA, JAECOO dan iCAUR.
Langkah itu dilihat usaha memperkemas pengalaman pemilikan kenderaan seawal hari pertama.

Inisiatif itu juga membolehkan pelanggan terus menggunakan sistem tol RFID tanpa pemasangan berasingan selepas pembelian.
RFID itu lengkap dengan :
- Serasi sistem Aliran Pantas Lorong Tunggal (SLFF)
- Bersedia untuk teknologi masa depan seperti Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF)
- Menyokong konsep tol tanpa palang
Semua ini membolehkan pemilik menikmati akses tol sebaik saja menerima kunci kenderaan Chery mereka.
Pihak pengurusan Chery berkata, pendekatan itu bukan sekadar menumpukan kepada produk, tetapi keseluruhan ekosistem pemilikan.

Setakat ini lebih 30,000 unit Chery sudah dihantar kepada pelanggan sejak 2023 dengan membuka rangkaian hampir 60 cawangan jualan dan servis.
Jenama OMODA dan JAECOO juga mencatat 17,849 unit jualan pada 2025, peningkatan 150 peratus tahun ke tahun.
Ini menunjukkan jenama China bukan sekadar memasuki pasaran, tetapi agresif membina pengalaman pemilikan lebih moden.
Men Lin Bo menegaskan integrasi RFID dari awal pembelian adalah sebahagian daripada usaha ke arah pengalaman pemilikan lebih pintar.
Sementara itu, Praba Sangarajoo melihat kolaborasi ini sebagai pengiktirafan industri automotif bahawa RFID kini adalah komponen penting dalam mobiliti masa depan — bukan sekadar sistem pembayaran.

Kerjasama ini juga bakal memberi beberapa implikasi besar seperti :
- Standard baharu industri: RFID mungkin bakal menjadi ciri biasa ketika membeli kereta, bukan lagi aksesori tambahan
- Sokong pelaksanaan MLFF: Malaysia memang menuju ke arah sistem tol tanpa henti, dan langkah itu mempercepatkan lagi adaptasi pengguna
- Pengalaman lebih lancar: Pengalaman membawa pulang kereta dari bilik pameran berjalan lancar tanpa banyak kerenah





























