Utama Berita Automotif Petrol, diesel tanpa subsidi naik 20 sen & 35 sen

Petrol, diesel tanpa subsidi naik 20 sen & 35 sen

6

Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing naik sebanyak 20 sen seliter manakala diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 23 Julai hingga 29 Julai 2026.

Menurut kenyataan, harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu.

“Harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16 peratus sepanjang minggu lalu apabila konflik antara Amerika Syarikat dan Iran kembali memuncak selepas berakhirnya tempoh gencatan senjata.

“Sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global,” jelasnya. 

Selain itu, kenaikan harga minyak mentah turut didorong oleh paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi.

Pelarasan harga minggu ini adalah berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism(APM), harga runcit produk petroleum adalah seperti berikut:

  1. Harga runcit petrol RON97 naik sebanyak 20 sen kepada RM4.20 seliter
  2. Harga runcit petrol RON95 naik sebanyak 20 sen kepada RM3.62 seliter
  3. Harga runcit diesel naik 35 sen kepada RM4.42 seliter 
  4. Harga runcit petrol bersubsidi RON95 di bawah BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter
  5. Harga runcit diesel bersubsidi kekal pada RM2.10 seliter

Melalui BUDI MADANI RON95 dan BUDI MADANI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.

Jelas kenyataan, pasaran petroleum global dijangka kekal tidak menentu selagi penyelesaian konflik belum dimuktamadkan.

“Meskipun usaha untuk menghidupkan semula rundingan dan cadangan gencatan senjata telah mengehadkan sebahagian kenaikan harga, perkembangan tersebut masih belum meredakan kebimbangan pasaran terhadap risiko gangguan bekalan.

“Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu agar dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” ujarnya. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here