
Mazda memperkenalkan versi dipertingkat bagi Mazda3 dan Mazda CX-30 untuk pasaran Jepun dengan pelbagai penambahbaikan yang menumpukan kepada prestasi, keselamatan dan keselesaan.
Fastback dan crossover tersebut dikeluarkan sejak 2019 dan model terbaru ini mengesahkan penawarannya akan terus kekal untuk beberapa tahun lagi.
Tempahan bagi kedua-dua model dibuka bermula 23 Julai 2026, manakala penghantaran kepada pelanggan dijadualkan bermula pada Ogos 2026.
Antara perubahan terbesar ialah pengenalan enjin baharu e-SKYACTIV G 2.5, selain penambahbaikan sistem bantuan pemandu (ADAS), kemas kini perkhidmatan ketersambungan serta pengenalan varian khas Mazda CX-30 Air Edition.
Enjin baharu e-SKYACTIV G 2.5 ditawarkan
Perubahan paling besar ialah pengenalan enjin e-SKYACTIV G 2.5 baharu yang kini ditawarkan pada Mazda3 dan Mazda CX-30.
Enjin 2.5 liter empat silinder ini menghasilkan 179PS dan 238Nm, serta dipadankan dengan sistem M Hybrid dan transmisi automatik 6EC-AT.
Bagi Mazda CX-30, versi pacuan dua roda mencatat penggunaan bahan api gabungan WLTC 15.5km/L, manakala versi pacuan semua roda mencatat 14.5km/L.
Mazda3 Fastback pula menawarkan beberapa konfigurasi. Versi 2WD dengan transmisi automatik mencatat 15.6km/L, versi 2WD manual 6MT mencatat 17.0km/L, sementara versi 4WD automatik mencatat 14.6km/L.
Bagi pelanggan yang mahukan prestasi lebih tinggi, Mazda3 turut mengekalkan enjin e-SKYACTIV X 2.0 yang menghasilkan 190PS dan 240Nm. Versi automatik mencatat 16.7km/L, manakala versi manual mencapai 17.7km/L.
Pilihan rangkaian kuasa kini lebih pelbagai
Selain menambah enjin e-SKYACTIV G 2.5, Mazda turut menawarkan beberapa pilihan rangkaian kuasa bergantung kepada model dan varian.
Mazda CX-30
- e-SKYACTIV G 2.0 M Hybrid – 115kW (156PS), 199Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 16.2km/L.
- e-SKYACTIV G 2.5 M Hybrid (2WD) – 132kW (179PS), 238Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 15.5km/L.
- e-SKYACTIV G 2.5 M Hybrid (4WD) – 132kW (179PS), 238Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 14.5km/L.
Mazda3 Fastback
- SKYACTIV-G 1.5 – 82kW (111PS), 146Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 16.6km/L.
- e-SKYACTIV G 2.5 M Hybrid (2WD, 6AT) – 132kW (179PS), 238Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 15.6km/L.
- e-SKYACTIV G 2.5 M Hybrid (2WD, 6MT) – 132kW (179PS), 238Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 17.0km/L.
- e-SKYACTIV G 2.5 M Hybrid (4WD, 6AT) – 132kW (179PS), 238Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 14.6km/L.
- e-SKYACTIV X 2.0 M Hybrid (4WD, 6AT) – 140kW (190PS), 240Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 16.7km/L.
- e-SKYACTIV X 2.0 M Hybrid (4WD, 6MT) – 140kW (190PS), 240Nm, penggunaan bahan api gabungan WLTC 17.7km/L.
Mazda CX-30 Air Edition tampil lebih eksklusif
Tarikan utama untuk CX-30 ialah pengenalan Air Edition, sebuah varian edisi khas yang mengetengahkan rekaan lebih moden dan premium.
Ruang kabin menggunakan gabungan warna kelabu dan putih bagi menghasilkan suasana lebih terang serta lapang.
Kemasan fabrik berwarna kelabu turut menerima rawatan kalis kotoran dan kalis air bagi meningkatkan ketahanan dalam penggunaan harian.
Bahagian luar pula menampilkan kemasan hitam pada beberapa komponen seperti:
- Logo hadapan dan belakang.
- Penutup tengah rim.
- Emblem belakang.
- Rel bumbung.
Gabungan tersebut memberikan imej lebih sporti dan anggun.
Warna baharu untuk kedua-dua model
Mazda turut menambah pilihan warna badan baharu. Mazda3 menerima warna Aero Gray Metallic yang ditawarkan untuk model menggunakan enjin e-SKYACTIV G 2.5 dan e-SKYACTIV X 2.0.
Sementara itu, Mazda CX-30 menerima dua pilihan warna baharu iaitu Aero Gray Metallic dan Zinc Green Metallic.
Mazda memaklumkan warna Zinc Green Metallic hanya akan mula dikeluarkan pada Oktober 2026.
Lebih banyak ciri keselesaan
CX-30 turut menerima beberapa kelengkapan tambahan bergantung kepada varian, termasuk:
- Sistem pengudaraan tempat duduk hadapan.
- Paparan 360 Degree View Monitor dengan fungsi See Through View.
- Lampu LED pada konsol bumbung.
Sistem keselamatan dipertingkat
Kedua-dua model menerima sistem bantuan pemandu (ADAS) generasi terkini yang sebelum ini diperkenalkan pada Mazda CX-60 dan CX-80.
Antara ciri baharu termasuk:
- Blind Spot Monitoring (BSM) dengan amaran ketika membuka pintu.
- Emergency Lane Keeping (ELK) dengan bantuan mengelak kenderaan di sisi, bantuan mengekalkan lorong dan bantuan mengelak pelanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan.
- Smart Brake Support (SBS) yang kini menyokong pengesanan motosikal, bantuan mengelak kemalangan di persimpangan, bantuan mengurangkan impak pelanggaran dengan kenderaan dari arah bertentangan serta pengesanan objek di kiri dan kanan ketika bergerak ke hadapan.
- Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi pengecaman had laju.
- Lampu utama LED Adaptif (ALH) yang dipertingkat dengan fungsi marking light dan pengurangan silau pada papan tanda.
Bagi Mazda3, pakej ADAS baharu ini hanya ditawarkan untuk varian 25S, 25L dan X Touring.
Perkhidmatan ketersambungan dipermudahkan
Mazda turut memperkenalkan pelan baharu bagi Connected Services.
Semua perkhidmatan kini disertakan tempoh penggunaan percuma sebelum langganan berbayar bagi memudahkan pelanggan mencuba fungsi digital yang disediakan.
Harga di Jepun
- Mazda3 Fastback: ¥2,365,000 hingga ¥4,092,000 (RM59,243 hingga RM102,505).
- Mazda3 Sedan: ¥2,750,000 hingga ¥3,267,000 (RM68,888 hingga RM81,838).
- Mazda CX-30: ¥2,640,000 hingga ¥3,756,500 (RM66,132 hingga RM94,101).
Mazda bagaimanapun masih belum mengumumkan sama ada kemas kini ini akan diperkenalkan ke pasaran lain, termasuk Malaysia.
Mazda CX-30 Air Edition 2026
Mazda CX30, Mazda3 Fastback dan e-SKYACTIV G 2.5 2026







































