
Juara dunia F1 tujuh kali Lewis Hamilton baru-baru ini mendedahkan projek restorasi terbaharunya, iaitu sebuah Ferrari F40.
Supercar lagenda itu dikatakan tersadai di dalam sebuah garaj selama lebih 30 tahun sebelum Hamilton menemuinya dan memutuskan untuk membawanya pulang.
F40 tersebut kini sedang menjalani proses restorasi penuh di kilang Ferrari di Maranello.
Beliau sebelum ini pernah bergambar bersebelahan dengan sebuah F40 di Maranello ketika baharu sahaja menyertai Ferrari pada Januari 2025.
Gambar itu terus menjadi imej ikonik hari pertamanya bersama Scuderia.
Tidak lama selepas itu, Hamilton mendedahkan beliau mahu bekerjasama dengan Ferrari untuk menghasilkan interprestasi moden F40, iaitu F44 bersempena nombor perlumbaannya.
“Saya nak reka sebuah Ferrari. Saya nak buat F44. Asasnya F40, dengan gear manual sebenar. Itu projek saya untuk beberapa tahun akan datang.”
Sementara menunggu impian F44 menjadi realiti, beliau kini mempunyai sebuah model asli F40 yang sedang menjalani proses restorasi menyeluruh.
Hamilton tidak mendedahkan harga yang dibayarnya untuk F40 tersebut.
Namun untuk rekod, RM Sotheby’s pernah menjual sebuah F40 dengan perbatuan 1,799 km pada harga €4.3 juta (RM20 juta).
Ferrari F40 merupakan sebuah supercar analog yang dipacu enjin V8 turbo berkembar dan dipadankan dengan transmisi manual.
Dengan karakter yang keras, liar dan tanpa kompromi, ia merupakan antara sebab kenapa supercar analog masih lagi mempunyai peminatnya yang tersendiri.
View this post on Instagram
































