PKP: Dah sampai rumah, jalan kaki balik kampung dari Shah Alam ke Kelantan

2997

“SAYA nekad pulang ke kampung semalam kerana sudah kehabisan wang untuk meneruskan hidup di Shah Alam,” kata Muhamad Noor Ramlee.

Muhamad Noor, 29, memberi reaksi itu ketika ditanya tujuannya berjalan kaki pulang ke kampung halamannya di Tanah Merah, Kelantan.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Muhamad Noor (atau nama Facebooknya Muhamad Noor Bin Ramlee) berkongsi pengalamannya berjalan kaki menerusi siaran Live di Facebook semalam.



Posted by Muhamad Noor Bin Ramlee on Monday, April 27, 2020

Bercerita lanjut, bapa tiga anak itu berkata, dia bekerja sebagai tukang masak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam serta tinggal di asrama disediakan majikan di Seksyen 7.

Namun, dia mengambil keputusan pulang kerana tidak mampu menyara diri dan nekad ke Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS), semalam, berbekalkan wang RM100 yang ada disimpannya.

“Sebaik tiba di TBS, saya dimaklumkan tiada tiket bas menghala ke Pantai Timur dijual dan ikutkan mahu bermalam di terminal saja tetapi tidak dibenarkan pihak pengurusan.

“Jadi, saya ambil keputusan membeli tiket bas ke Gopeng, Perak dan bertolak jam 6 petang sebelum tiba jam 9 malam.

“Namun, saya hanya memulakan perjalanan pulang ke kampung dengan berjalan kaki pada jam 7 pagi tadi bermula dari Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng, Ipoh,” katanya ketika dihubungi media semalam.

Berkongsi pengalaman, Muhamad Noor berkata, dia cuba menahan kenderaan termasuk lori untuk mendapatkan bantuan pulang ke kampungnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada yang berhenti untuk menumpangkannya.

Malah, Muhamad Noor berkata, keluarga terutama isterinya, Siti Noor Fateng Sefeai hanya mengetahui tindakannya itu selepas dia memuat naik hantaran dan berkongsi pengalaman di FB.

“Mulanya isteri tidak tahu tetapi dia ada menghubungi saya selepas menonton siaran ‘Live’ di FB kerana risau.

“Saya cuba menahan kenderaan tetapi tiada satu pun yang berhenti mungkin kerana mereka takut untuk menumpangkan saya.

“Walaupun lapar dan dahaga, saya cuba bertahan untuk berpuasa tetapi akhirnya terpaksa berbuka dengan minum air tengah hari tadi,” katanya.

Menurutnya, dia berdepan dua sekatan jalan raya di Gopeng dan Ipoh namun tidak dikenakan tindakan.

“Setibanya di Gerik, ada sebuah lori berhenti dan mujurlah pemandunya sudi menumpangkan saya dan kami menyambung perjalanan selepas waktu berbuka tadi (semalam).

Menerusi kemaskini yang Motoqar dapati pagi ini, Muhamad Noor telahpun selamat sampai ke kampungnya kira-kira jam 11 malam tadi.

“Alhamdulillah jam 11 malam tadi selamat sampai rumah. Terima kasih pada yang mendoakan, memberi bantuan.

“Terutama sekali terima kasih kepada S/U Sulit Dato’ PA saudara Ahmad Nazree Ramli di atas sumbangan yang diberikan. Beliau banyak membantu perjalanan saya,” tulisnya di status FB.

Sara Anisa, yang kami rasa salah seorang ahli keluarganya memuat naik status FB bertulis: “Alhamdulillah. Selamat sampai rumah dah. Terima kasih yang mendoakan dan yang banyak membantu kami.”

Muhamad Noor juga sedia membuat ujian saringan Covid-19 di hospital berdekatan. Dia sempat berseloroh, “Bersiap untuk ke hospital buat saringan. Tapi rakan-rakan semua jangan bimbang, saya takkan jalan kaki ke hospital.”

“Ini kali pertama saya jalan kaki sejauh ini dan tidak sangka kisah ini mendapat perhatian ramai,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here