CPSM sokong langkah wajibkan pemasangan kerusi kanak-kanak

1384

Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) menyokong penuh pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkenaan perlaksanaan mewajibkan pemasangan kerusi kanak-kanak (child restraint system, CRS) bermula tahun 2020.

CPSM merupakan sebuah badan NGO yang giat menjalankan kempen kesedaran tentang kebaikan pemasangan kerusi kanak-kanak. Pengumuman ini merupakan berita yang ditunggu-tunggu sejak dua tahun lalu.

CPSM pernah mengusulkan cadangan kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dalam mendidik serta menggalakkan masyarakat tentang kepentingan penggunaan kerusi kanak-kanak.



Kemalangan yang melibatkan kenderaan menjadi punca utama kematian kanak-kanak berumur antara 0-14 tahun pada 2016. Statistik ini adalah berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2017.

Manakala berdasarkan Laporan Statistik Kemalangan daripada PDRM pada tahun 2017 pula mencatatkan sebanyak 449 kemalangan melibatkan kanak-kanak berumur 0-10 tahun.

Usaha dan program CPSM 

CPSM berharap agar kerajaan akan menyokong usaha yang mereka lakukan untuk menjalankan kempen keselamatan kepada golongan ibu bapa setelah pengumuman itu dibuat.

CPSM akan terus berusaha untuk menggalakkan ibu bapa dan masyarakat untuk mengutamakan keselamatan anak-anak dalam kereta.

Mereka akan terus giat dalam usaha ini sehingga perlaksanaan penuh undang-undang mewajibkan pemasangan kerusi kanak-kanak dijalankan pada tahun 2020.

Bagi menyahut seruan Kementerian Pengangkutan, CPSM sudah pun merangka beberapa kempen seperti kursus ‘Child Passenger Safety Technician Certification’ pada April 2019.

Kursus ini diadakan bagi meningkatkan jumlah penganjur kempen keselamatan kanak-kanak yang terlatih.

Antara beberapa program lain yang bakal dilakukan adalah seperti program advokasi dan pelan komunikasi bermula bulan ini.

Ia bakal menyampaikan mesej ringkas untuk menarik minat para ibu bapa tentang kewajaran perlindungan kanak-kanak di dalam kereta.

CPSM juga bakal meningkatkan usaha dengan mengadakan pemeriksaan keselamatan pada kerusi kanak-kanak yang digunakan ibu bapa pada kereta mereka.

Mereka akan mengajar dan tunjukkan cara pemasangan yang betul kepada ibu bapa. Usaha ini akan dilakukan bermula di negeri Utara bermula suku tahun 2019 nanti.

Mereka juga berharap menjelang Mac 2019 pendekatan melalui media sosial akan bertambah sehingga 50% dan mensasarkan kepada golongan ibu bapa urban.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here