Pandu uji: MINI Cooper S Countryman Pure – Melebihi jangkaan

4356

Agak menarik untuk difikirkan bahawa penulis belum pernah memandu uji sebarang model MINI sebelum ini. Austin Mini klasik seperti dipandu Mr. Bean tu penulis pernah pandu, tetapi tidak MINI moden seperti MINI Cooper S Countryman Pure yang dijual sekarang.

Jadi, bila terima tawaran untuk memandu MINI Cooper S Countryman Pure, penulis terus setuju. Walaupun bukan model Cooper dengan bentuk ikonik hatchback tiga-pintu, penulis rasakan Cooper S Countryman ini model yang cukup sempurna untuk mewakili barisan MINI sekarang.



Disebabkan MINI mempunyai hatchback, SUV dan model plug-in hybrid (PHEV), jadi Cooper S Countryman ibarat di tengah-tengah. Tidak terlalu sporti seperti John Cooper Works, dan tidak terlalu “santai” seperti E ALL4 hibrid.

Varian Countryman Pure ini ialah penambahan kepada rangkaian Countryman dan diperkenalkan awal tahun ini. Ia dijual pada RM228,888 (atas jalan tanpa insurans) iaitu RM20,000 lebih murah dari Countryman Sports.

Luaran

Walaupun sebuah SUV, Countryman tidaklah terlalu tinggi. Ia seperti BMW X1 dan X2 yang lebih kepada crossover atau SUV yang rendah. Oh ya, MINI Countryman memang berkongsi platform dengan model BMW yang disebut.

Disebabkan ia sebuah Cooper dengan S, maka gayanya tampil lebih sporti dari MINI Countryman biasa yang sudah nampak ranggi. Dengan warna Moonwalk Grey dan dikemaskan dengan kemasan hitam pada bumbung, pelekat di atas hud dan rim 19-inci John Cooper Works Course Spoke Alloy berwarna hitam, anda tahu ia bukan MINI biasa.

Kemudian penulis cukup suka dengan perincian pada kereta ini iaitu lencana S merah menyerlah pada gril depan bercorak sarang lebah (honeycomb), corong air curtain di luar lampu kabus depan, serta rekaan bumbung yang sebenarnya semakin rendah menuju ke belakang.

Rel bumbung pula menambah elemen utiliti dan jiwa lasak walaupun penulis ragu-ragu pemilik Countryman akan menggunakannya. Tetapi ia ada bila diperlukan.

Dalaman

Perkara pertama penulis rasakan bila duduk di dalam Cooper S Countryman ini ialah betapa kerasnya tempat duduknya. Dan penyokong tepi tempat duduk yang bersegi itu tidak menyenangkan apabila kita terduduk di atasnya bila memasuki kenderaan. Tetapi, tunggu… ada hikmah di sebalik ini. Nantikan di bahagian pemanduan.

 

Dari segi kualiti bahan binaan kabin, ia cukup kemas dan terasa premium. Penulis cukup suka barisan suis dan tombol pada siling berdekatan cermin pandang belakang dan di bawah konsol tengah. Suis-suis ini seperti pada pesawat dan mempunyai rasa yang “berat” dan memuaskan bila digunakan.

Rekabentuk papan pemuka bertemakan bulat yang nampak ranggi tetapi pada masa sama ikonik dan klasik. Ia menjadi identiti bagi model MINI sejak mula lagi, cuma susunan sahaja berbeza.

Penulis masih ingat MINI Cooper awal tahun 2000 dahulu yang mempunyai meter kelajuan bulat di tengah papan pemuka. Sekarang ia telah “kembali” ke bahagian kanan di depan stereng kerana bahagian tengahnya kini menempatkan unit infotainmen.

MINI Cooper S Countryman ini mendapat pakej MINI Connected dengan sambungan SIM 4G serta rangkaian perkhidmatan seperti Intelligent Emergency Call, TeleServices, MINI Online, MINI Concierge Service, dan Apple CarPlay.

Dalam erti kata lain, anda bukan sahaja membayar harga kereta, tetapi juga harga bagi servis-servis sampingan yang menyokong kereta itu. Mungkinkah pakej sebegini akan hadir di kereta lebih mampu milik pada masa akan datang?

Enjin dan prestasi

Enjin MINI Cooper S Countryman Pure ini ialah unit 4-silinder petrol bersesaran 1,998cc. Seperti pada BMW, enjin ini juga menggunakan TwinPower Turbo yang memang teknologi BMW.

Enjin ini menghasilkan 192hp dan 280Nm tork, cukup padu dan berkuasa untuk saiznya. Ia dipadankan pula dengan transmisi automatik 8-kelajuan Sports Automatic. Ia jenis torque-converter, tetapi pertukaran gear cukup laju seperti dwi-klac.

Pemanduan

 

Sebaik sahaja mula bergerak, karakter Cooper S Countryman ini sudah mula dapat dilihat. Gaya perjalanannya menyedarkan penulis bahawa sudah jarang sekali kereta baharu memberikan elemen keseronokan pada pemanduan.

Ia tidaklah pantas seperti Golf R atau AMG A45, tetapi Countryman ini cukup laju dan diberi padanan stereng yang tajam. Ya, sterengnya merupakan antara paling tajam dan tepat penulis pernah jumpa dalam banyak-banyak kereta hari ini yang menggunakan stereng kuasa elektrik (EPS).

Sedikit input ke kiri atau ke kanan, anda terus rasa casis kereta ini menurut kata. Ia dapat dirasai pada belakang badan dan punggung anda. Dan pada masa ini anda mula hargai tempat duduknya yang sedikit keras itu.

Dalam setengah jam sahaja, penulis mula terfikir, “Beginikah rasanya Fiat Abarth 695 yang lincah itu?” Fiat Abarth memang kecil dan ringan, tetapi MINI ini dengan enjin, stereng dan casisnya memberikan rasa seolah-olah ia Fiat Abarth yang lebih besar.

Dan dari ekzos sports yang berbunyi agak nakal, pertukaran gear yang pantas serta gaya perjalanannya, Cooper Countryman ini terasa lebih kecil dari sebenarnya. Ia memang lincah.

Memandu Cooper S Countryman ini juga membuatkan penulis sentiasa ingin mencari selekoh. Ia menekankan bahawa jalan lurus itu membosankan.

Selain itu, MINI ini agak praktikal. Ruang tempat duduk belakang lebih luas dari yag disangkakan kerana pintu belakangnya nampak agak pendek. Tiada masalah besar pada ruang kepala dan kaki penumpang belakang.

Sebagai bonus, terdapat juga corong pendingin udara di belakang serta banyak ruang-ruang simpanan berguna. Untuk ruang kargo, walaupun hanya bersaiz 450 liter dan bukan terbesar dalam kelasnya, dinding dalam yang tegak menjadikan hampir kesemua ruang kargo ini boleh digunakan.

Oh ya, terdapat juga MINI Picnic Bench yang boleh dikeluarkan dari lantai ruang kargo ini. Agak cool kerana alas ini unik kepada model-model MINI sahaja.

Untuk kecekapan bahan api, penulis boleh mendapat 300km hingga 330km untuk setiap tangki penuh. Tetapi itu adalah dengan kombinasi bandar dan lebuhraya dengan barangan di ruang kargo. Jika pada kelajuan tetap 110km/h, komputer menunjukkan bacaan 16.7km per liter.

Jadi, ia boleh menjadi jimat jika anda mahu, dan boleh “minum” petrol dengan gelojoh jika anda tidak berhati-hati dengan kaki kanan.

Kata akhir

MINI Cooper S Countryman Pure ini sebenarnya melepasi jangkaan penulis. Ia bukan sahaja praktikal, paling penting ia sangat seronok dipandu. Oh ya, di kawasan tertentu, MINI ini menarik perhatian juga.

 

Spesifikasi MINI Cooper S Countryman Pure

Harga: RM240,888 (atas jalan, tanpa insurans)
Enjin: 1,998cc, 4-silinder petrol, TwinPower Turbo, suntikan bahan api
Kuasa maksima: 192 hp @ 5,000 rpm
Tork maksima: 280 Nm @ 1,350 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan Sports Automatic
Sistem suspensi: Topang MacPherson (depan), multi-link (belakang)
Berat: 1,535 kg
Sistem keselamatan: 6 beg udara, ABS, EBD, Stability Control, Traction Control, ISOFIX

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here