MINI Clubman JCW dan Countryman JCW paling berkuasa diperkenalkan

2226

Menurut MINI Malaysia, kedua-dua varian MINI Clubman JCW dan Countryman JCW baharu merupakan antara model yang paling berkuasa tinggi pernah dikeluarkan dalam sejarah MINI yang berusia 60 tahun.

Kuasa

Ya, rangkaian baharu MINI JCW telah dilancarkan; Clubman JCW 306HP dan Countryman JCW 306HP, dengan lebih prestasi dan menjanjikan pemanduan mengujakan.



Sumber kepada 306hp itu ialah enjin 2.0-liter TwinPower Turbo dengan aci engkol (crankshaft) yang dimodifikasi. Tork pula adalah 450Nm pada 1,750 hingga 4,500rpm.

Nisbah mampatan telah dikurangkan dari 10.2 kepada 9.5, tetapi diberikan tekanan pengecasan turbo lebih tinggi. Komponen kemasukan udara juga diubah lebih jauh.

Dengan padanan transmisi automatik Steptronic 8-kelajuan dan sistem pacuan semua roda ALL4, MINI JCW Clubman 306HP mampu memecut ke 100km/j dalam 4.9 saat, manakala MINI JCW Countryman 306HP ialah 0.2 saat lebih perlahan, iaitu 5.1 saat untuk pecutan sama.

Untuk menjamin prestasi enjin dikekalkan dalam semua keadaan, sistem penyejukan turut dikaji semula. Ia melalui beberapa pengubahsuaian, antaranya dua radiator luaran, tangki pengembangan khusus, serta penyejukan ketiga menggunakan kondenser.

Pengalaman pemanduan mengujakan ditambah dengan bunyi sporti hasil dari sistem ekzos sport baharu.

Ciri lain pada bahagian casis adalah brek berwarna merah lebih besar bersaiz 360mm di depan dan 330mm di belakang, serta suspensi sport JCW yang menurunkan kereta 10mm lebih rendah. Suspensi ini adalah jenis adaptif untuk disesuaikan dalam semua jenis permukaan jalan.

Penampilan

Dari segi penampilan, MINI JCW Countryman 306HP mendapat panel bampar baharu, ekzos lebih besar, dan salur kemasukan udara terbuka di kedua-dua sisi.

MINI JCW Clubman 306HP pula didatangkan dengan bampar depan baharu, spoiler depan dengan splitter, salur kemasukan udara sisi dengan dua radiator, dan gril depan baharu.

Kedua-dua model menerima lencana JCW di merata-rata badan kenderaan dan diperkemaskan dengan trim Piano Black, lampu LED baharu, lampu belakang LED dengan corak Union Jack, dan rim JCW Circuit bersaiz 19-inci.

Di bahagian kabin pula, kedua-dua model ini dilengkapi tempat duduk sports balutan kulit Carbon Black Dinamica, serta elemen JCW untuk roda stereng, kluster instrumen, paparan tengah, dan ambang pintu.

Kelengkapan lain adalah pedal stainless steel, permukaan kokpit MINI Yours dengan lampu ambien 12 warna, dan bumbung panoramik sebagai standard.

Pilihan Warna

Empat warna boleh dipilih masing-masing untuk MINI JCW Clubman 306HP (Rebel Green, White Silver, Midnight Black dan Chili Red) dan MINI JCW Countryman 306HP (Rebel Green, Light White, Midnight Black dan Chili Red).

Harga

MINI JCW Clubman 306HP dijual pada RM358,888 manakala Countryman 306HP ialah RM378,888. Kedua-dua model dilindungi dengan jaminan tanpa had perbatuan 4-tahun, servis percuma, MINI Roadside Assistance, dan MINI Balloon Financing.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here