Penjarakan sosial, contactless delivery antara garis panduan p-hailing dalam tampoh PKP

2207

Sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan garis panduan untuk perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan (parcel) menggunakan motosikal atau p-hailing (parcel-hailing).

p-hailing

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, mana-mana syarikat yang menyediakan perkhidmatan penghantaran barangan menggunakan motosikal bagi tujuan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan secara dalam talian mesti mematuhi garis panduan yang ditetapkan.



Garis panduan itu antaranya mewajibkan penunggang memiliki lesen memandu penuh (CDL) yang sah dan berumur tidak kurang daripada 18 tahun, selain bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain mematuhi peraturan jalan raya, kotak yang dibawa penunggang bagi mengisi barangan hendaklah mematuhi saiz yang telah ditetapkan JPJ.

“Semua operator dan penunggang hendaklah menitikberatkan soal kesihatan, mengamalkan penjarakan sosial dan transaksi tanpa sentuhan atau contactless transaction selagi mana boleh disediakan,” kata Ka Siong dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penunggang diminta untuk menjalankan proses sanitasi pembasmian kuman bagi kotak penghantaran setiap hari mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti Covid-19, pihak syarikat perlu membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada KKM dalam usaha mengesan kontak pekerja yang telah dijangkiti dan pengurusan kontak, katanya.

Atas dasar keselamatan, Ka Siong berkata, penunggang p-hailing dinasihatkan supaya tidak menggunakan lebuh raya antara negeri (inter-state) bagi jarak perjalanan melebihi 10 kilometer.

Katanya, waktu operasi adalah terhad dari 8 pagi hingga 8 malam sahaja, selain waktu operasi dan jenis barangan yang boleh dibawa juga tertakluk kepada zon yang telah ditetapkan oleh MKN dan peraturan semasa.

Ka Siong berkata, semua penunggang yang menghantar barangan perlu sentiasa membawa bersama-sama mereka surat pengesahan daripada majikan atau surat pendaftaran dengan PBT.

Katanya, semua penunggang p-hailing juga diwajibkan memuat turun dan mendaftar di aplikasi kendalian MKN iaitu mySejahtera dan perlu menunjukkan bukti pendaftaran kepada pihak penguat kuasa. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here