PKPP: Seluruh perkhidmatan rangkaian rel transit akan beroperasi seperti biasa

1408

Bermula esok dan sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), seluruh perkhidmatan rangkaian rel transit akan kembali beroperasi seperti biasa.

rel transit

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Abdul Hadi Amran berkata, ia selaras prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan kerajaan yang membenarkan semua perkhidmatan rel transit beroperasi sepenuhnya kecuali ETS dan KTM.



Menurutnya, ia termasuk mengakhiri peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen.

“Perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya, LRT Ampang-Sri Petaling, MRT laluan Sungai Buloh-Kajang dan laluan monorel yang dikendalikan Rapid Rail akan menamatkan arahan penjarakan sosial dalam tren. Tanda penjarakan sosial di dalam tren dan stesen sudah dikeluarkan,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, prosedur keselamatan dan kesihatan sedia ada masih diteruskan.

Antaranya ialah pekerja dan penumpang mempunyai suhu lebih 37.5 darjah celsius tidak dibenarkan masuk, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman tangan selain digalakkan menggunakan fasiliti serta transaksi bukan tunai seperti pas bulanan atau kad Touch N Go.

Tambah beliau, penumpang digalakkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengimbas QR kod.

“Kerja membasmi kuman dan pembersihan stesen serta tren akan dilakukan secara berterusan,” katanya.

Jumlah penumpang dijangka kembali seperti biasa iaitu 750,000 penumpang sehari berbanding 200,000 ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Rapid Rail menyeru dan berharap pengguna mendisiplinkan diri dan mematuhi normal baharu dalam penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here