Ini 6 alasan kenapa sedan lagi sedap berbanding SUV, mungkin fakta ini mengejutkan anda

4589

Ya, memang betul jiran depan rumah anda dah pakai SUV, Pak Long pun sama pandu SUV balik kampung beraya tahun lepas.

Ramai yang gemarkan dan sudah beralih ke SUV hinggakan pasaran sedan semakin mengecil dan pengeluar berlumba-lumba menawarkan “kenderaan utiliti sukan” ini.



Sedangkan Maserati, Lamborghini dan Rolls-Royce yang merupakan pengeluar tegar kereta sports dan mewah pun sudah mengeluarkan SUV.

Jadi, adakah ini bermakna SUV lebih baik dari sedan dalam segenap segi? Tidak juga. Kami senaraikan enam alasan atau hujah kenapa sedan sebenarnya masih lebih sedap dari SUV.

1. Sedan lebih murah

Secara umum jika kita bandingkan model sedan dan SUV dari pengeluar yang sama dan berspesifikasi sama, kita akan dapati sedan jauh lebih mampu milik.

Untuk contoh, kita ambil segmen-C. Mazda 3 dan CX-5 tidak sesuai dibandingkan harganya kerana Mazda 3 model CBU.

Toyota Corolla Altis dan RAV4 kedua-duanya CBU (Altis dari Thailand, dan RAV4 dari Jepun). Corolla dijual pada harga RM123,971.50 hingga RM134,505.00 manakala RAV4 dijual pada harga bermula RM215,664.50.

Kita ambil pula contoh model CKD (pemasangan tempatan), iaitu Honda Civic dan CR-V. Model Civic 1.5 TC-P berharga dari RM125,081.09 hingga RM134,661.28 manakala CR-V berenjin sama dijual pada harga bermula RM157,243.00 hingga RM168,465.73.

Dari sini, kita boleh lihat bahawa sedan berharga antara RM30k hingga RM90k lebih murah dari SUV jenama sama.

2. Sebenarnya sama praktikal

Ya, SUV mempunyai ruang dalaman lebih luas kerana saiznya yang lebih besar. Tapi sebenarnya dari aspek praktikaliti, sedan menawarkan tahap praktikaliti yang sama.

Sama seperti SUV, model-model sedan juga mempunyai ruang simpanan tambahan di konsol tengah, pemegang cawan, dan beberapa port USB.

Jika dikira dari aspek ruang kargo, sedan turut mempunyai keluasan hampir 500 liter di but belakang. Dan sama seperti SUV, sedan juga boleh diturunkan tempat duduk belakang, biasanya dengan cara 60:40.

Jika anda berkata ruang belakang SUV boleh menempatkan barangan tinggi, berapa kerap anda mengisi barangan tinggi di belakang sehingga orang luar boleh melihat barang itu di tingkap belakang?

Kebanyakan masa, ruang kargo belakang akan tertutup rapi dengan panel tonneau cover, menjadikan kapasiti simpanan di situ lebih kurang sama dengan but sedan.

3. Lebih jimat minyak

Perkara ini tidak sukar diagak. Mudah, kerana sedan lebih ringan dan biasanya mempunyai tayar lebih kecil dari SUV dalam segmen sama.

Sebagai contoh, Honda Civic dan CR-V mempunyai perbezaan berat lebih 200kg, dan Mazda 3 Sedan ialah 180kg lebih ringan dari CX-5.

Dalam kategori premium, BMW 520i adalah 400kg hingga 600kg lebih ringan dari BMW X5 (bergantung kepada varian).

200kg pun sebenarnya sudah menyamai berat tiga orang dewasa. Anda mungkin tidak nampak perbezaannya, tetapi perkara ini boleh dilihat dari perbelanjaan petrol bulanan anda.

4. Lebih mudah dikemudi dalam bandar

Benar, SUV lebih tinggi dan membolehkan kita melihat dengan lebih jauh ke hadapan. Tetapi kelebihan ini hanya berguna jika kita memandu lebih laju terutamanya di lebuhraya.

Sedan mempunyai saiz yang lebih kecil dan memudahkan kita mengemudi di dalam bandar yang sibuk. Memasuki parkir akan menjadi isu lebih besar dimana sedan lebih mudah dikendalikan.

Jangan lupa sedan hari ini juga mempunyai kamera undur dan kamera keliling 360-darjah.

5. Pemanduan lebih prestasi

Kini untuk perkara kegemaran kami, iaitu pemanduan lebih berprestasi dengan sedan. Lebih prestasi di sini bukan bermakna laju semata-mata.

Dengan sedan, disebabkan ia lebih ringan, pasti mampu memecut dan membrek lebih baik dari SUV yang menggunakan enjin dan transmisi sama.

Dan kerana sedan lebih rendah juga, ia mampu membelok dengan lebih stabil dan selamat. Dengan SUV, anda pasti perlu brek lebih banyak untuk memasuki selekoh dengan selamat, dan bila kelajuan telah dikurangkan, pasti memerlukan lebih bahan api untuk memecut semula badan yang lebih berat itu keluar selekoh.

Situasi ini seperti pemain ragbi berbadan kurus dan berbadan gempal cuba lari dan mengelak dari ditangkis pasukan lawan, anda pasti tahu yang mana lebih lincah, bukan?

Memang benar ada SUV berprestasi tinggi seperti Porsche Macan GTS dan Mercedes-AMG GLC43 yang boleh selamba masuk track day, tetapi tiada siapa mampu melawan hukum fizik. Maka Porsche Cayman dan Mercedes-AMG C43 yang lebih ringan dan rendah tentu lebih pantas di litar.

6. Kos penyelenggaraan lebih rendah

Akhir sekali, bab penyelenggaraan dimana sedan lebih mesra untuk poket anda. Sebagai contoh, secara kasar, anda perlu belanjakan kira-kira RM200 hingga RM300 untuk servis biasa setiap 10,000km untuk sedan segmen-C jenama Jepun.

Untuk SUV jenama sama pula, servis setiap 10,000km memerlukan anda mengeluarkan wang antara RM250 hingga RM450.

Kemudian untuk jangka masa panjang 200,000km atau 10 tahun, perbezaan kos penyelenggaraan ini boleh mencecah ribuan ringgit.

Antara komponen yang mempunyai harga berbeza untuk sedan dan SUV di pusat servis rasmi adalah palam pencucuh, penapis kabin dan penapis bahan api.

Ini belum kira komponen wear and tear yang bergantung kepada penggunaan iaitu tayar, pelapik brek, cakera brek dan penyerap hentak, pasti perbezaannya lebih besar.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here