Rolls-Royce Cullinan yang ditala oleh Klassen

2266

Bagi kebanyakan orang, Rolls-Royce Cullinan merupakan sebuah SUV yang boleh dikatakan sebagai ‘luar biasa’, terutamanya jika dilihat pada ciri-ciri mewah yang ditawarkan.

Namun, tidak bagi Klassen. Menyedari potensi yang ada, syarikat talaan dari Jerman itu telah menghasilkan Cullinan versi panjang. Jentera ini pastinya bakal menarik perhatian golongan elit.



Menghasilkan kenderaan versi panjang bukanlah sesuatu yang asing bagi Klassen. Syarikat itu sebelum ini telah menjalankan projek seumpama itu dengan pelbagai jenis kenderaan seperti Mercedes-Maybach S-Class, Range Rover Autobiography, Bentley Bentayga dan Mercedes-Benz G-Class.

Bagi Cullinan, jarak rodanya (wheelbase) dipanjangkan dari 3,295 ke 4,311 mm. Manakala panjang keseluruhan kenderaan turut meningkat dari 5,341 mm ke 6,357 mm.

Bukan itu sahaja, Klassen turut menawarkan dinding pemisah di dalam kabin, serta pelbagai kelengkapan mewah seperti sistem audio Bang & Olufsen, pencahayaan ambient LED, serta sistem multimedia khas.

Menurut syarikat itu, segala fungsi yang ada pada Cullinan kini boleh dikawal dengan hanya menggunakan iPhone.

Tawaran Klassen ini juga dilihat sesuai untuk ahli politik atau orang-orang penting kerana ianya dilengkapi dengan perlindungan balistik tahap 7. Untuk lebih keselamatan, pelanggan juga boleh memilih perlindungan balistik tahap 9.

Bagaimanapun, ciri-ciri tambahan yang ada pada Rolls-Royce Cullinan talaan Klassen ini menjadikannya jauh lebih mahal. Ianya kira-kira $2.08 juta (RM8.6 juta), berbanding $325,000 (RM1.3 juta) bagi versi biasa.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here