HJC Helmet perkenalkan helmet edisi khas filem Hollywood

2440

Pengeluar helmet terkemuka iaitu HJC memang cukup terkenal dengan helmet edisi khas dengan grafik berkonsepkan filem-filem popular Hollywood. Berikut adalah koleksi helmet yang dikeluarkan pada tahun ini.

 



Deadpool & Ghost Rider

Berikutan permintaan tinggi daripada peminat, HJC telah memperkenalkan helmet Deadpool dan Ghost Rider sebagai sebahagian daripada barisan produk Marvel.

Berasaskan model IS-17 yang dilengkapi dengan cermin mata hitam di bahagian dalam, helmet Deadpool didatangkan dalam warna merah dan hitam matte. Ia diinspirasikan oleh kostum adiwira itu serta logonya yang tersendiri di bahagian belakang.

Helmet Ghost Rider pula tampil dengan grafik tengkorak yang dikelilingi api dan rantai seperti yang dilihat dalam komik. Ia ditawarkan pada model FG-17 yang diperbuat daripada gentian kaca.

Harga bagi helmet Deadpool adalah USD299 (RM1,217) manakala helmet Ghost Rider berharga USD309 (RM1,258).

Spiderman & Iron Man

Kedua-dua helmet ini dilancarkan sempena filem Spiderman: Homecoming yang dikeluarkan pada Julai tahun ini.

Berbanding helmet Spiderman yang terdahulu, edisi terbaru ini menampilkan grafik digital biru dan merah. Ianya menyerupai kostum yang digunakan oleh Tom Holland dalam filem tersebut. Ia menggunakan model ‘entry-level’ iaitu CS-R3 yang dijual pada harga USD159.99 (RM650).

Helmet Iron Man pula berasaskan model RPHA 70 ST yang turut mempunyai cermin mata hitam. Visor berwarna emas dan elemen metalik membuatkan helmet berharga USD609.99 (RM2,484) ini kelihatan tidak jauh berbeza dengan helmet Iron Man yang sebenar.

Star Wars

Setelah melancarkan grafik Kylo Ren dan Boba Fett pada tahun lalu, HJC kini menawarkan satu lagi helmet edisi khas untuk koleksi peminat Star Wars iaitu helmet Luke Skywalker.

Dikeluarkan sempena ulangtahun ke-40 francais itu, helmet Luke Skywalker mempunyai penampilan yang serupa dengan helmet yang dipakai oleh watak itu ketika menerbangkan jet pejuang X-Wing.

 Ia boleh didapati dalam model IS-5 bagi pasaran Amerika Utara dan FG-70 bagi pasaran Eropah. Kedua-duanya adalah helmet retro jenis muka terbuka (open face) lengkap dengan pelindung matahari.

10 daripada helmet ini ditandatangani oleh pelakon Mark Hamill dan dijual secara atas talian dengan hasil disumbangkan kepada UNICEF dan Yayasan Starlight Children’s.

Cars 3

HJC tidak melepaskan peluang untuk menumpang populariti francais Cars dengan melancarkan helmet edisi Lightning McQueen dan Jackson Storm pada awal tahun ini.

Seperti wataknya dalam filem itu, helmet Lightning McQueen didatangkan dalam warna merah menyala yang dipadankan dengan nombor ‘95’, grafik kilat dan penaja.

Jackson Storm yang bertindak sebagai seteru McQueen pula menampilkan helmet bercengkerang gentian karbon dengan corak biru gelap dan metalik. Ianya sesuai dengan wataknya sebagai jentera lumba generasi seterusnya.

Kedua-dua helmet ini menggunakan model premium HJC iaitu RPHA 11. Ia tampil buat pertama kali di kejohanan MotoGP Perancis pada bulan Mei lalu apabila dipakai oleh Toni Elias, Jorge Navarro dan Marcos Ramirez.

Harga bermula dari USD599.99 (RM2,441) bagi Lightning McQueen dan USD749.99 (RM3,051) bagi Jackson Storm.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here