Perodua pecah rekod jualan sepanjang 27 tahun, 26,582 unit terjual pada Oktober 2020

436

Perodua berjaya mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 26,852 kenderaan pada Oktober 2020, selepas memecahkan rekod jualan bulanan sepanjang sejarahnya sebanyak 25,035 unit pada September 2020.

“Pada September, kami telah mencapai jualan bulanan tertinggi sepanjang 27 tahun sejarah kami dan kini, kami telah mengatasi pencapaian tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad

“Kejayaan ini penting buat kami kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranan kami dalam memulihara ekosistem automotif.

“Dalam Oktober sahaja, kami telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan, seterusnya menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terkesan dengan pandemik yang kita hadapi sekarang,” tambah beliau.

Ekosistem automotif merangkumi sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor. Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.

“Dari segi kapasiti pengeluaran, kami berada di 98 peratus secara purata pada Oktober 2020 dengan 26,362 kenderaan, yang juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi daripada kilang kami di Sungai Choh,” ujar Dato’ Zainal.

“Kejayaan ini dicapai dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang diikuti oleh setiap kakitangan dan rakan niaga kami, termasuk bekerja dari rumah serta ujian mandatori bagi mereka yang berada di zon merah – bersama dengan SOP asal yang diperkenalkan pada Mei.

Perodua telah menjual 8,052 Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz dan 1,974 Alza pada Oktober. Tiga model teratas kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia setakat tahun ini.

“Kami sedang berusaha untuk mengekalkan momentum jualan dan pengeluaran ini bagi memastikan penghantaran kekal tinggi dan para pelanggan kami berpuas hati dengan menyediakan kemampu-milikan bagi semua produk dan perkhidmatan kami,” kata Dato’ Zainal.

Dalam memberi lebih ganjaran kepada para pelanggannya, Perodua menawarkan penebusan tunai sehingga RM1,500 untuk Perodua Aruz (tertakluk terma dan syarat) sepanjang November, ke atas amaun pengecualian cukai semasa.

Di samping itu, Perodua juga turut menawarkan rebat tunai sehingga RM2,000 untuk kenderaan pra-miliknya sehingga 31 Disember 2020. Tawaran ini hanya boleh didapati di pusat jualan Perodua KL yang terletak di Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Sila kunjungi www.perodua.com.my, hubungi atau kunjungi pusat-pusat jualan kami untuk maklumat lanjut mengenai tawaran terkini Perodua.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here