Perodua Axia STYLE buat kemunculan di Sri Lanka dan sedia ditempah

2664

Perodua Axia STYLE telah dipamerkan di Pameran Motor Colombo Sylan yang sedang berlangsung di Bandaranaike Memorial International Conference Hall, Colombo, Sri Lanka.

Pada masa yang sama, Perodua Axia STYLE itu telah mula ditempah dan penghantaran dijangka dibuat awal tahun depan. Di Sri Lanka, Perodua dibawa masuk dan diedar oleh Unimo Enterprises.



Axia STYLE yang menerima penggayaan berunsurkan crossover itu dijual pada harga Rs 3.895 juta (RM89,000*) di sana.

“Sri Lanka merupakan pasaran luar negara terbesar bagi jenama Perodua, di mana Axia disambut baik dengan kira-kira 3,000 unit dijual sejak 2015. Justeru ia sesuai sebagai destinasi eksport pertama bagi Perodua Axia STYLE baharu ini,” Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

“Dilengkapkan dengan bumper yang tampil lebih lasak dengan elemen skid plate, cladding badan, moulding bumbung, spoiler belakang dan rim aloi lima-jejari 15-inci, Perodua Axia STYLE baharu mencerminkan gaya hidup aktif pemiliknya di samping mengekalkan semua kelebihan Axia seperti praktikaliti, kecekapan bahan api, ruang dalaman yang luas serta mudah dipandu,” tambahnya.

Di Malaysia, lebih 2,000 Perodua Axia STYLE telah diserahkan kepada pemiliknya sejak dilancar September lalu.

Perodua Axia 2019 secara keseluruhan telah mencapai jualan lebih 10,400 unit daripada lebih 20,000 tempahan yang diterima setakat ini.

Unimo Enterprises telah menjual hampir 16,000 kenderaan Perodua sejak 1997. Barisan model mereka kini terdiri daripada Axia dan Bezza. Perodua Bezza merupakan sedan bawah-1.0 liter baharu yang terlaris di Sri Lanka.

Perodua mensasarkan eksport sebanyak 3,270 kenderaan untuk 2019 – peningkatan 50% daripada 2,184 unit tahun lepas. Lebih 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar Malaysia setakat ini.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here