Huawei kini mempunyai kereta elektrik sendiri – Seres SF5!

1637

Dalam era sekarang, tidak hairan jika syarikat selain pengeluar kereta turut mengeluarkan kenderaan elektrik (EV). Terbaharu, pengeluar telefon pintar Huawei mula membabitkan diri dalam bidang ini juga.

Huawei secara rasmi mengumukan kenderaan elektrik mereka (lebih tepat lagi range-extender EV) – di Auto Shanghai 2021, dengan nama Seres SF5.



Walaupun ia bukanlah 100 peratus buatan Huawei, dikeluarkan oleh pengeluar Seres dari negara itu, ia tetap dilengkapi banyak teknologi-teknologi Huawei.

SF5 ini dilengkapi ‘Huawei DriveONE Three-in-One Electric Drive’, suatu sistem yang terdiri dari pengawal motor, motor elektrik dan reducer. Seres SF5 mampu dipandu sejauh 180km dalam mod elektrik, dan melebih 1,000km dalam mod range-extender.

Mod range-extender mempunyai ‘Hump Intelligent Range Extender System’ yang dibangunkan bersama Huawei dan Seres. Sistem ini dikuasakan enjin 1.5-liter 4-silinder yang menggunakan petrol dan elektrik.

Kedua-dua syarikat ini juga membangunkan satu sistem dual-motor 4WD yang menghasilkan 543hp dan 820Nm tork. Ini membolehkan SF5 memecut dari 0 ke 100km/j dalam 4.68 saat.

Menggunakan HiCar, pemilik boleh bertukar-tukar penggunan antara telefon pintar atau kereta dengan mudah. Sebagai contoh, ia boleh memindahkan muzik dari telefon pintar ke sistem infotainmen kereta dengan mudah dan memainkannya.

EV Huawei ini juga menjanjikan keselesaan yang baik dengan penggunaan penyerap gegaran dan peredam bunyi untuk kabin. Sistem audio dengan 11 pembesar suara pula dikatakan menawarkan “kualiti bunyi seperti opera”.

Tambahan lagi, Seres SF5 mempunyai mod penyelamatan kenderaan-ke-kenderaan (V2V) dan kenderaan-ke-beban (V2L) untuk bekalan kuasa perkhemahan.

Huawei Seres SF5 akan dijual pada harga 246,800 Yuan (RM156,389) untuk varian 4WD dan 216,800 Yuan (RM137,379) untuk model 2WD. Ia dijangka mula dijual di cawangan flagship Huawei di negara itu pada hari ini, 21 April 2021.

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here