‘Rampas’ kereta di lampu isyarat, tiga lelaki diupah along

622

Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes rampasan Perodua Axia daripada seorang lelaki di persimpangan lampu isyarat di Jalan Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang. 

Kejadian itu berlaku pada jam 7.45 pagi, Rabu lalu. Ketiga-tiga lelaki berusia 49, 29 dan 27 tahun itu ditahan di tiga lokasi berbeza iaitu Seberang Jaya, Butterworth dan Kuala Kangsar pada Khamis.



Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku selepas ibu kepada pemandu kenderaan tersebut membuat pinjaman sebanyak RM100,000 dengan seorang lelaki pada tahun 2020 namun gagal membayarnya.

Menurutnya, wanita berusia 57 tahun itu bersetuju menyerahka Perodua Axia melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal melunaskan hutang. 

“Selepas wanita tersebut gagal membayar pinjaman, maka kereta tersebut dirampas seperti dalam kejadian yang ditularkan. Lelaki yang memandu ketika kejadian adalah anak kepada wanita berkenaan.

“Selepas wanita itu gagal untuk membayar balik wang pinjaman, maka pemberi pinjaman mengupah orang untuk merampas kereta anaknya,” katanya.

Dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan dan pakaian yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.

“Semasa tangkapan, ketiga-tiga suspek berada di bawah pengaruh dadah. Mereka kini direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan,” katanya.

Mohd Asri menambah, polis masih mengesan suspek yang masih bebas dan dipercayai turut terlibat dalam kes tersebut. 

Pihak polis menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video kejadian berkenaan. Mereka boleh merujuk kepada pihak berkenaan untuk pengesahan maklumat yang sahih.

TULAR TARIK KERETA 

@malaysiagazette

Ibu gagal bayar pinjaman RM100,000 menyebabkan kereta anaknya dirampas sebagai cagaran oleh peminjam dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang, Butterworth, Pulau Pinang semalam. Susulan itu, polis tahan tiga lelaki tempatan yang diupah untuk merampas kereta bagi membantu siasatan. #MalaysiaGazette #MGNews #pinjaman

♬ original sound – Hazim Haikal – Top10Studios

Sebelum ini tular satu klip video memaparkan sekumpulan lelaki menarik keluar pemandu Perodua Axia dari kereta sebelum salah seorang daripada mereka masuk ke bahagian belakang kereta.

Mangsa kemudiannya meminta tolong daripada orang awam yang menyaksikan kejadian itu.

Apabila salah seorang penunggang motosikal bertanya kepada mangsa tentang kejadian itu, dia memberitahu bahawa mereka mencuri keretanya.

Sekumpulan penunggang motosikal kemudiannya dilihat mengejar kereta yang dibawa lari itu. Kereta tersebut juga hampir melanggar seorang penunggang basikal yang berada di lokasi kejadian.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here