Ocean Infinity dakwa ada bukti saintifik baharu lokasi MH370

792

Sebuah syarikat berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) mendakwa memiliki bukti saintifik baharu mengenai lokasi terakhir pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Ocean Infinity mengumumkan cadangan untuk carian baharu di selatan Lautan Hindi yang juga lokasi pesawat itu dipercayai terhempas sedekad lalu, lapor portal berita Independent.

 



Menurutnya, pihak itu juga sudah mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan Malaysia.

Ocean Infinity mencadangkan carian ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ iaitu pembayaran perkhidmatan hanya sekiranya syarikat itu memperoleh hasil yang positif.

Ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Oliver Plunkett berkata, pihaknya berada dalam kedudukan dapat kembali mencari MH370, dan sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan Malaysia.

“Mencari MH370 dan membawa beberapa resolusi kepada semua pihak berkaitan dengan kehilangan pesawat itu sudah menjadi perkara konsisten dalam fikiran kami sejak meninggalkan selatan Lautan Hindi pada 2018.

“Sejak itu, kami memberi tumpuan memacu transformasi operasi di laut serta berinovasi dengan teknologi dan robotik untuk memajukan keupayaan pencarian lautan,” katanya.

Sejurus selepas tengah malam waktu tempatan pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysian Airlines MH370, Boeing 777, hilang daripada radar kawalan trafik udara ketika terbang di atas Laut China Selatan sejurus berlepas dari Kuala Lumpur.

Pada minggu berikutnya, pemeriksaan teliti terhadap data radar dan satu siri isyarat ping satelit mendedahkan bahawa pesawat itu menyimpang dari laluan dan menuju ke barat merentasi semenanjung Asia Tenggara sebelum mengubah laluan ke selatan di Lautan Hindi.

Seramai 239 orang termasuk 12 anak kapal berada di dalam pesawat itu.

Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke sebelum ini dilaporkan berkata pihaknya sudah menjemput Ocean Infinity untuk membincangkan cadangan ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ untuk menyambung semula pencarian MH370.

Plunkett berkata, beliau amat yakin kerajaan Malaysia dan kabinet akan meluluskan cadangan itu.

Katanya, syarikat itu sedang menganalisis data dengan harapan dapat mengecilkan kawasan carian.

“Pencarian ini boleh dikatakan paling mencabar dan sememangnya yang paling penting di luar sana.

“Kami sudah bekerjasama dengan ramai pakar, sesetengahnya di luar Ocean Infinity, untuk terus menganalisis data dengan harapan dapat mengecilkan kawasan carian kepada satu kawasan yang mana kejayaan berpotensi boleh dicapai,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here