Kongsi kereta mangsa MH370 ‘tersadai’ di TikTok, netizen ‘jumpa’ kereta yang sama untuk dijual

21185

Seorang pengguna akaun TikTok @yourjiranstory berkongsi klip video pendek yang menunjukkan sebuah MPV Honda Odyssey dibiarkan usang di parkir Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Menerusi kapsyen video itu, dia menulis ‘sejarah hitam, semoga dirahmati semuanya ditempatkan di kalangan orang beriman.’ Video berkenaan sehingga kini sudah mendapat 2.3 juta tontonan.

@yourjiranstory

Sejarah hitam. Al fatihah~ #foryoupage #foryou #fypage

♬ Sedih – Instrumental – Asraf Studio



Boleh dilihat bahagian luaran MPV tersebut dipenuhi debu tebal sehinggakan tidak boleh melihat ruangan dalam. Pada bahagian hud depan terdapatnya tulisan ‘mangsa MH370’.

Kesahihan kereta tersebut milik mangsa MH370 tidak dapat dipastikan kerana difahamkan ada beberapa buah kenderaan lain yang turut ditinggalkan di ruangan parkir KLIA.

Menurut pemilik akaun TikTok itu di bahagian komen kebanyakan kereta tersadai itu diparkir di blok A dan B.

“Tingkat lupa berapa, sebab dah tak kerja airport. Sebenarnya ramai saja kereta mangsa MH370 meninggalkan kereta di parkir tersebut. 

“Betul, tapi tak semuanya mangsa yang terlibat. But ada staff yang bagitahu majoriti kereta terbengkalai ni kereta mangsa. Al fatihah,” tulisnya.

Timbul perdebatan dalam kalangan netizen apabila melihat tarikh luput cukai jalan kenderaan tersebut pada Jun 2015. Sedangkan tragedi MH370 berlaku pada 8 Mac 2014.

Ada kemungkinan pemilik memperbaharui cukai jalan lebih awal sebelum tarikh luput kerana pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggunakan tarikh tamat tempoh terakhir walaupun memperbaharui lebih awal. 

Bahkan ada juga netizen yang membuat andaian kemungkinan pemilik kereta itu adalah mangsa MH17 kerana nahas berlaku pada Julai 2014.

KERETA KLON?

Namun, di sebalik perdebatan itu perkongsian tersebut membawa kepada sebuah penemuan lain iaitu kereta klon yang menggunakan nombor plat sama dengan MPV berkenaan.

Seorang pengguna Tiktok @Gulingas95 berkongsi dia menemui iklan sebuah MPV Odyssey dengan warna badan dan nombor plat sama WVR 9882 di Facebook.

Menerusi tinjauan Motoqar di akaun Facebook yang mengiklan kereta tersebut menjelaskan harga jualan Honda Odyssey 2.4cc (2004) berkenaan adalah RM38,000. Susulan tular di TikTok, penjual membuat penjelasan berkaitan MPV berkenaan. 

“Kami dari syarikat jual beli kenderaan terpakai membeli kenderaan Honda Odyssey ini dari Carsome melalui bidaan harga. Syarikat kami telah memenangi bidaan tersebut dan membayar jumlah bidaan kepada pihak tersebut.

“Pemeriksaan Puspakom juga dibuat dan dapati kenderaan ini tidak mempunyai apa masalah. Pihak kami telah merujuk perkara ini kepada pihak tersebut untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya,” jelasnya yang sudah membuat laporan polis serta menunjukkan bukti resit pembelian dan laporan Puspakom.  

Tambahnya, MPV yang dibeli pada Februari lalu itu telah menjalani pemeriksaan nombor casis dan enjin di Puspakom dan lulus tanpa ada masalah. 

Sekitar tahun lalu, sepasang suami isteri mengemukakan saman kecuaian terhadap pengendali platform perniagaan kereta terpakai dalam talian yang sama serta institusi kewangan berhubung pembelian kenderaan curi.

Pasangan suami isteri tersebut membeli sebuah kereta berharga RM103,697.81 pada November 2021. 

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

 

 

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here