
OMODA 9 SHS, SUV andalan terbaru dari OMODA, secara rasmi telah dilancarkan dan mula dihantar kepada pelanggan di United Kingdom (UK).
Dengan harga permulaan £44,990 (RM257,698.81), OMODA 9 SHS ini hadir dengan prestasi hibrid canggih, rekaan mewah, dan pengalaman pemanduan yang tenang.
OMODA 9 SHS didukung oleh Sistem Super Hibrid (SHS) canggih yang turut menawarkan fungsi plug-in.
Sistem ini membolehkan pemanduan lebih daripada 1,126 kilometer (WLTP), termasuk sehingga 149 kilometer dalam mod elektrik tulen.
Ia bukan sahaja cekap, tetapi juga sangat berkuasa dengan output sistem mencecah 449 ps dan 700Nm, membolehkan OMODA 9 SHS memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.9 saat.
Dari segi data emisi, OMODA 9 SHS mencatatkan nilai CO₂ serendah 38 g/km.
Ini meletakkannya sebagai salah satu pilihan yang sangat menarik bagi mereka yang mencari kenderaan berkuasa tinggi namun tetap bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Model pacuan semua roda ini turut menetapkan penanda aras baharu dalam segmen SUV hibrid plug-in premium.
Ia dilengkapi dengan Transmisi Hibrid Khusus tiga-kelajuan, sistem pacuan semua roda pintar, dan suspensi elektromagnetik yang direka untuk keselesaan optimum.
Tahap kebisingan kabin dikurangkan dengan ketara kepada hanya 45.8 dB pada kelajuan bandar, hasil penggunaan kaca akustik dan tayar akustik yang direka khas.
Di dalam kabin, kemewahan dan teknologi menjadi tumpuan utama.
Ciri-ciri standard yang ditawarkan termasuk sistem kamera panorama 540 darjah, sistem pemurnian udara kabin, bumbung panorama 1.3 meter, serta kerusi dengan fungsi pemanas dan pengudaraan untuk empat penumpang.
Sistem bunyi sekeliling SONY 14-pembesar suara, paparan HD melengkung 24.6 inci, pencahayaan ambien, dan kerusi belakang yang boleh direbahkan secara elektrik melengkapkan pengalaman mewah yang ditawarkan oleh OMODA 9 SHS.
Bagaimana OMODA 9 SHS Relevan Untuk Pasaran Malaysia?
Pelancaran OMODA 9 SHS di UK ini dilihat menarik perhatian peminat automotif di Malaysia. OMODA, sebagai jenama yang semakin mendapat tempat di negara ini, menunjukkan komitmennya terhadap teknologi hibrid melalui model andalan ini.
Petunjuk kuat mengenai potensi kehadiran model ini di Malaysia sudah terlihat. Pada Februari 2025, gambar unit samaran OMODA C9 PHEV telah ditemui di Malaysia.
Ini membayangkan bahawa versi hibrid elektrik bagi SUV segmen-D ini bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Kejayaan OMODA 9 SHS di pasaran antarabangsa boleh menjadi pemangkin kepada pengenalan model serupa atau adaptasinya untuk pasaran tempatan.
Dengan pengenalan OMODA 9 SHS di UK, dan petanda awal kehadiran SUV segmen-D hibrid plug-in dari OMODA di Malaysia, kita boleh menjangkakan OMODA akan terus memperkukuh barisan kenderaan elektrifikasi mereka di pasaran tempatan.