Nahas FRU : Kertas siasatan dijangka siap hujung Jun

65
Kertas siasatan ke atas syarikat sebuah lori yang terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan kenderaan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Sungai Lampam, Simpang Tangki Air, Langkap pada 13 Mei lalu dijangka siap akhir Jun ini.
 
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kifli Ma Hassan berkata, siasatan akan dilakukan secara terperinci termasuk di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 [Akta 715].
 
 
“Saya telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh sebulan sebelum dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
 
Tambah beliau, siasatan awal mendapati terdapat kesalahan yang boleh dikaitkan dengan pelanggaran syarat permit kerana membawa muatan yang tidak dibenarkan.
 
“Permit mereka ialah untuk membawa arang batu, tetapi siasatan mendapati lori itu mempunyai muatan batu kerikil yang menyalahi syarat tersebut,” katanya.
 
Bagaimanapun, beliau menjelaskan siasatan lanjut akan dijalankan bagi memastikan kesalahan sebenar yang dilakukan.
 
Sebelum ini, media tempatan melaporkan trak FRU yang dinaiki 18 anggota pasukan dari Unit 5 berpangkalan di Sungai Senam terlibat kemalangan dengan sebuah lori yang membawa muatan batu.
 
Sebelum kejadian kira-kira jam 8.50 pagi itu, kesemua anggota FRU dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
 
Kemalangan berkenaan mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here