
Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera ringan selepas kereta yang dinaiki terbabas di KM30, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU), Cegar Perah, Merapoh, di Lipis, pada Khamis.
Kejadian kira-kira jam 7 malam itu berlaku ketika mangsa, Mohd Ruzi Mohd Yusof, 56, dalam perjalanan pulang ke kampung di Tanah Merah, Kelantan, selepas menjemput anaknya, Nur Adzilaini, 19, yang merupakan pelajar Universiti Geomatika Malaysia di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di kedua-dua arah dan terbabas ke dalam longkang di bahu kiri jalan.
“Pemandu kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anak perempuannya yang cedera ringan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, Ismail memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan.
“Kita menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu dengan berhati-hati dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan,” katanya.