
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menumpukan penguatkuasaan terhadap penunggang motosikal menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidiladha (Ops HRAA) 2025 bermula 4 Jun lepas hingga 10 Jun ini.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata dalam tempoh dua tahun ini, sebanyak 1,132,140 notis kesalahan dikeluarkan kepada penunggang motosikal dengan 848,885 notis pada 2024 dan 283,255 dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.
“Fokus utama penguatkuasaan kali ini adalah menerusi Ops Khas Motosikal iaitu terhadap penunggang motosikal yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
“Tiga kesalahan utama dikenal pasti ialah tiada lesen memandu dengan 301,774 kes, lesen kenderaan motor tamat tempoh (251,886) dan tiada insurans kenderaan (233,819),” katanya.

Beliau berkata lebih 2,000 anggota penguat kuasa digerakkan di seluruh negara sepanjang tempoh operasi itu.
Muhammad Kifli berkata statistik berkenaan menggambarkan masih banyak kesalahan dilakukan penunggang motosikal dan JPJ akan sentiasa mempertingkat penguatkuasaan kerana golongan berkenaan adalah penyumbang kemalangan terbesar iaitu 65 peratus daripada kadar kemalangan di negara ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata bagi membantu orang ramai menyelesaikan saman tertunggak, JPJ menawarkan pembayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata RM150 bagi tiga jenis notis saman tertentu yang akan berakhir pada 30 Jun ini.
“Notis terlibat ialah Saman AwAS (Saman 53A) iaitu dari Oktober 2018 hingga kini, Notis 114 (Panggilan Temu Siasat) 2024 dan ke bawah dan Notis 115/JPJ (P23)-Permintaan Butir-Butir Pemandu-2024 dan ke bawah.
“Setakat semalam, sebanyak 374,024 saman dibayar melibatkan kutipan keseluruhan RM56.18 juta dengan pecahan iaitu Saman AwAS sebanyak 347,326 bernilai RM52,167,900; Notis 114 (21,538 saman bernilai RM3,236,140) dan Notis 115 (5,160 saman bernilai RM774,000),” katanya.
JPJ katanya menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang melunaskan saman mereka pada kadar istimewa itu sebelum tempoh tamat pada 30 Jun ini.