Kapal kargo bawa 3,000 kenderaan termasuk EV & hibrid terbakar di lautan Pasifik

44

Sebuah kapal kargo yang membawa lebih 3,000 kenderaan termasuk ratusan model elektrik dan hibrid terbakar di Lautan Pasifik pada 3 Jun yang lalu. 

Susulan insiden itu, 22 kru terpaksa meninggalkan kapal dan sehingga hari Rabu, api masih marak dan usaha menyelamat sedang dijalankan.

Kapal Morning Midas sepanjang 600 kaki yang didaftarkan di United Kingdom dan diuruskan oleh Zodiac Maritime yang berpangkalan di London itu dalam perjalanan ke pelabuhan Lázaro Cárdenas, Mexico, dan dijangka tiba pada 15 Jun.

Ia bertolak dari China pada hujung Mei lalu dan singgah di Yantai, Guangzhou serta Shanghai.

Kapal itu berada kira-kira 300 batu di selatan Pulau Adak, Alaska, apabila kru mengesan asap dari dek simpanan kenderaan elektrik (EV) pada 3 Jun. Walaupun sistem pemadam api CO₂ kapal diaktifkan, api marak semula selepas sistem itu kehabisan gas.

Gagal mengawal kebakaran, kru mengeluarkan isyarat kecemasan dan mengosongkan kapal menggunakan rakit penyelamat.

Kesemua 22 kru itu diselamatkan oleh kapal kargo berdekatan, Cosco Hellas yang diiktiraf oleh Pengawal Pantai Amerika. 

Menurut Zodiac Maritime, kapal itu membawa 3,048 kenderaan termasuk 70 buah EV dan 681 model hibrid. Selain itu, kapal berkenaan juga membawa muatan kira-kira 350 tan metrik gas cecair dan 1,530 tan minyak bahan api sulfur rendah (VLSFO).

Insiden itu meningkatkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam menguruskan kebakaran melibatkan bateri litium-ion di lautan.

Pakar telah lama memberi amaran bahawa kebakaran bateri EV sukar dipadamkan disebabkan oleh “thermal runaway” (pelarian haba), yang boleh menyebabkan bateri terbakar semula atau api merebak semula ke unit berdekatan.

KEBIMBANGAN EV TERBAKAR DI LAUTAN

Pengarah Persatuan Bomba Antarabangsa, Sean DeCrane menyatakan bahawa kebakaran Morning Midas selari dengan tingkah laku penyalaan semula EV terutamanya dalam kes yang mana melibatkan sistem CO₂ tetapi tidak dapat menghalang kebakaran semula.

Pakar keselamatan kebakaran, Dr. Brian Mayer menambah bahawa memadamkan satu kebakaran kenderaan elektrik biasanya memerlukan sehingga 10,000 gelen air iaitu jumlah yang tidak praktikal di atas kapal.

Tambahan, menggunakan air laut yang mana bakal memberikan masalah kerana sifatnya yang menghakis boleh menimbulkan risiko tambahan kepada sistem dalam kapal.

Pengawal Pantai Amerka mengerahkan tiga kapal penyelamat dan menghantar sokongan udara, termasuk pesawat C-130J dan helikopter MH-60T, untuk menyelaraskan pemindahan dan memantau kebakaran.

Sebuah kapal tunda penyelamat telah dihantar ke lokasi kejadian sementara pihak berkuasa berusaha untuk mengawal kebakaran dan mencegah kerosakan alam sekitar.

Pihak berkuasa masih belum mengesahkan jenama atau model kenderaan yang terlibat dalam insiden tersebut. Kapal Morning Midas yang dibina pada tahun 2006 itu mampu mengangkut sehingga 6,000 kereta. 

Kebakaran itu mengulangi bencana sama pada 2022 melibatkan kapal Felicity Ace, yang tenggelam selepas terbakar selama hampir dua minggu di Lautan Atlantik. Kapal itu membawa hampir 4,000 kenderaan mewah, termasuk model Porsche, Bentley, dan Audi.

Syarikat insurans semakin bimbang tentang kebakaran di atas kapal pengangkut kenderaan. Allianz Commercial melaporkan bahawa insiden kebakaran maritim mencapai paras tertinggi dalam 10 tahun pada 2024. Kajian Perkapalan dan Keselamatan 2025 menyatakan bahawa saiz kapal moden, digabungkan dengan kerumitan operasi memadam kebakaran dan penyelamatan, menyebabkan risiko insurans kekal tinggi.

Zodiac Maritime menegaskan semula keutamaan mereka adalah keselamatan berterusan kru dan perlindungan alam sekitar marin. Semasa situasi ini berlarutan, pihak berkuasa maritim bekerjasama rapat dengan pengendali kapal untuk menentukan langkah seterusnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here