
Tindakan pihak kontraktor mencabar kerajaan di mahkamah berhubung pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) bagi laluan Sipitang-Beaufort didakwa menjadi antara punca kelewatan pelaksanaan projek tersebut yang kini berlarutan sehingga lapan tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, meskipun pembinaan LPB hanya melibatkan sebahagian kawasan dalam DUN Lumadan, namun kelewatan itu tetap memberi kesan terhadap aspek keselamatan pengguna jalan raya.
Menurutnya, situasi itu bukan sahaja menjejaskan penduduk setempat yang menggunakan laluan tersebut setiap hari, malah turut memberi impak kepada pengunjung dari Sarawak dan Brunei yang menjadikan daerah ini sebagai lokasi persinggahan.
“Isu pembinaan Pan Borneo ini sudah mengambil masa antara tujuh hingga lapan tahun. Sebenarnya, kerajaan tidak menghadapi masalah, begitu juga wakil rakyat.
“Kerajaan sudah pun menyalurkan dana dan melantik kontraktor, manakala wakil rakyat juga telah membawa isu ini ke peringkat lebih tinggi. Ini bermakna, kerajaan sudah bertindak. Masalah utama yang kita lihat kini ialah kegagalan pihak kontraktor, bukan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kelewatan pembinaan LPB yang menimbulkan kebimbangan pengguna, khususnya dari aspek keselamatan.
Ruslan berkata, pertukaran kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Parti Warisan dan kini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut memberi kesan terhadap kelancaran projek, namun kerja-kerja pembinaan tetap diteruskan ketika ini.
“Berdasarkan rekod, kontraktor tersebut telah membawa kes ke mahkamah atas alasan kerajaan tidak membuat bayaran.
“Apabila perkara ini dibawa ke mahkamah, prosesnya memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan, bukan satu atau dua bulan. Ini juga menjadi antara punca utama kelewatan pembinaan LPB,” kongsiya.
KERAJAAN MENANG
Namun, tuntutan kontraktor itu akhirnya ditolak apabila mahkamah memutuskan kemenangan berpihak kepada kerajaan.
“Mahkamah telah memutuskan bahawa kerajaan menang kerana kontraktor gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Oleh itu, kontraktor perlu meneruskan dan menyiapkan pembinaan.
“Mereka perlu melaksanakan tanggungjawab ini kerana ia melibatkan keselamatan pengguna. Sekiranya projek ini tidak disiapkan, jalan tersebut akan terus berisiko dan menyusahkan pengguna, apatah lagi ia merupakan laluan penghubung utama kepada pelawat dari Brunei dan Sarawak ke Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya aspek keselamatan tetap perlu diberi keutamaan walaupun ketika ini pembinaan LPB berjalan dengan lancar di kawasannya.
“Kita telah menunggu begitu lama untuk laluan LPB ini disiapkan. Selepas pandemik Covid-19, kerja-kerja pembinaan terhenti selama dua tahun disebabkan isu ini dibawa ke mahkamah dan tahun ini barulah disambung semula.
“Saya lihat pembinaan semakin lancar untuk di kawasan saya, tetapi aspek keselamatan di tapak pembinaan mesti dijaga.
“Jalan yang rosak untuk pembinaan harus diselenggara, papan tanda serta anak panah perlu dipasang sekiranya terdapat lencongan dan lampu jalan mesti disediakan, khususnya pada waktu malam kerana ketiadaan lampu turut menjadi punca kemalangan. Jalan juga perlu diturap semula demi keselesaan penduduk,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya sebelum ini menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor supaya memastikan pengurusan jalan raya dalam fasa pembinaan LPB sentiasa dipantau, khususnya yang melibatkan aliran trafik di kawasan berisiko.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri memaklumkan bahawa Pakej Satu bagi jajaran Sindumin-Melalia dijangka siap pada tahun 2026, manakala Pakej Dua dari Melalia ke Beaufort dijangka siap sekitar tahun 2027.