
Lima dekad dalam pasaran adalah satu pencapaian yang membanggakan, dan Volkswagen meraikannya dengan pelancaran Polo Edition 50 baharu.
Model istimewa ini bukan sekadar Polo biasa ia datang dengan pelbagai ciri tambahan.
Keterujaaan dan fenomena Polo satu ketika dahulu di pasaran tempatan tidak lagi dinikmati selepas model generasi keenam tidak ditawarkan.
Model ini sebenarnya sudah berada di pasaran sejak 2017. Namun anda tetap boleh memilikinya melalui unit yang dibawa pengimport bebas.
Gaya dengan Sentuhan Khas
Polo Edition 50 ini dibina berasaskan varian Polo Style sedia ada dengan sentuhan kemasan yang lebih eksklusif.
Dari luaran, ia tampil bergaya dengan rim aloi Coventry bersaiz 16 inci (pilihan 17 inci Torosa juga ada), tingkap belakang berwarna gelap untuk privasi dan yang paling menarik, lencana 3D ’50’ yang unik pada tiang-B.
Melangkah ke ruang dalaman, kemeriahan ulang tahun ke-50 ini diteruskan. Anda akan disambut dengan tulisan ‘Edition 50′ pada ambang pintu hadapan, nombor ’50’ pada kemasan stereng bawah, dan juga pada papan pemuka kilatan tinggi di bahagian penumpang.
Ciri dan Teknologi Terkini
Selain sentuhan kosmetik, Polo Edition 50 turut dilengkapi pelbagai ciri standard yang menjadikan pemanduan lebih menyeronokkan dan selamat:
- Pedal bergaya krom
- Pelapik bumbung hitam
- Lampu suasana (ambient lighting)
- Pakej krom yang merangkumi cermin elektrik, suis, dan corong udara.
- Tempat duduk sukan depan dengan fungsi pemanas
- Stereng kulit pelbagai fungsi
- Sistem kamera undur
- Pakej bantuan pemandu Park & Comfort yang canggih, termasuk sistem perlindungan penumpang proaktif, sistem bantuan tukar lorong Side Assist, dan Park Assist dengan Park Distance Control serta Rear Traffic Alert.
- Sistem maklumat hibur Discover Media dengan fungsi strim dan internet.
- Pilihan profil pemanduan
Bagi pelanggan yang inginkan lebih lagi, terdapat pakej Plus pilihan.
Pakej ini terdiri daripada bumbung suria panoramik yang besar, penyaman udara automatik dwi-zon, dan sistem Keyless Access untuk kemasukan dan penghidupan enjin tanpa kunci.
Pilihan Enjin dan Harga
Polo Edition 50 ini ditawarkan dengan tiga pilihan enjin yang berbeza. Model asas datang dengan enjin 95 ps (70 kW) dan transmisi manual, ditawarkan pada harga 28,200 euro (RM137,707.96) di Jerman.
Selain itu, dua pilihan enjin lain, 95 ps (70 kW) dan 116 ps (85 kW) boleh didapati dengan transmisi DSG tujuh kelajuan.
Dengan pakej lengkap ciri standard dan rekaan eksklusif, Polo Edition 50 ini adalah cara terbaik untuk Volkswagen meraikan legasi model Polo yang kekal relevan selama separuh abad.