
Syarikat automotif tempatan GGR Motor kini melangkah ke fasa baharu dengan memperkenalkan inisiatif “Go Green Revolution” yang bakal membawakan beberapa model motosikal elektrik (EV) terkini pada 28 Jun ini.
Inisiatif tersebut turut mengumumkan Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) Sdn Bhd sebagai Rakan Strategik Eksklusif dan pengedar sah utama motosikal GGR Motor.
Majlis pelancaran rasmi akan berlangsung pada 28 Jun ini di Saloma Kuala Lumpur dan bakal membariskan tetamu kehormat serta barisan artis popular tanah air termasuklah Johan, Cat Farish, Ajak Shiro dan Nabil Ahmad.
Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi berkata, pelancaran ini adalah langkah permulaan ke arah memperluaskan penggunaan motosikal elektrik dalam kalangan masyarakat, dengan pendekatan lebih mesra pengguna dan menjangkau generasi muda.
“Acara akan bermula jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dengan sesi pelancaran, pameran, jaringan pelabur dan media.
“Aktiviti malam pula dimeriahkan dengan persembahan komuniti, “test ride”, cabutan bertuah dan aktiviti santai bersama pencinta EV.
“Saya percaya apabila artis sendiri menggunakan EV, ia memberikan impak lebih besar dari segi capaian dan kesedaran awam,” katanya.
Bagi menyemarakkan lagi sambutan dan sokongan terhadap inisiatif hijau ini, GGR Motor turut mengumumkan penajaan dua unit Lion G1 e-bike (bernilai RM2,054 setiap satu) sebagai hadiah rasmi kepada penonton bertuah pada konsert Aku Muzik Kamu (AMK Indie 2025), yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 di Litar Antarabangsa Sepang.
“Penajaan ini sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan manfaat kepada rakan-rakan serta menyemai semangat perubahan ke arah penggunaan kenderaan elektrik,” katanya.
Untuk kemuncak acara pelancaran rasmi motosikal, Muhammad Mussadiq berkata, GGR MOTOR telah menyampaikan hasrat kepada pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melancarkan motosikal elektrik (EV) keluaran mereka.