
Sekiranya segala perancangan berjalan dengan lancar, Ferrari akan tampil dengan model EV pertama menjelang musim luruh tahun ini.
EV pertama Ferrari direka sebagai sebuah model volum rendah yang akan disusuli dengan model EV kedua dengan angka produksi yang lebih tinggi pada tahun hadapan.
Namun dalam laporan terbaharu oleh Reuters, Ferrari merancang untuk menangguhkan pengenalan model EV kedua daripada tahun 2026 ke tahun 2028 – hanya disebabkan tiada permintaan terhadap model tersebut.
Penangguhan tersebut dilihat dapat memberikan lebih masa untuk Ferrari membangunkan teknologi EV-nya dengan lebih baik.
Selain Ferrari, beberapa pengeluar supercar turut sama memperlahankan usaha untuk memperkenalkan model EV berprestasi tinggi.
Seperti contoh, Lamborghini menangguhkan pelancaran EV pertamanya dari tahun 2028 ke tahun 2029, manakala Maserati pula dilapor membatalkan terus pembangunan model MC20 elektrik.