SF90 ialah model Ferrari terpantas, hibrid PHEV, 0-200 km/j dalam 6.7 saat!

2005

Tiga angka yang anda perlu ingat; 1,000hp, 0-100 dalam 2.5 saat dan paling gempak, 0-200 dalam 6.7 saat sahaja!

Mempersembahkan Ferrari SF90, model terkini yang baru mendarat di Malaysia. Ia dilancarkan di bilik pameran baharu Naza Italia di Petaling Jaya, petang tadi.



Ferrari SF90 dijual pada harga RM1,908,000 (sebelum duti, ciri tambahan, cukai dan insurans). SF90 dilindungi oleh pakej penyelenggaraan 7 tahun dari Ferrari serta penyelenggaran berkala dengan servis setiap 20,000km.

Mari kita lihatkan 11 perkara menarik yang perlu anda ketahui mengenai Ferrari SF90 ini:

1. Nama bermaksud ulangtahun

Nama Ferrari SF90 bermaksud ulangtahun ke-90 penubuhan Scuderia Ferrari yang menunjukkan hubungan rapat antara jentera jalanan Ferrari dengan jentera litar.

2. Ferrari pertama PHEV

Ya betul, SF90 merupakan Ferrari pertama dengan konfigurasi PHEV (plug-in hybrid electric vehicle) yang melihatkan gabungan enjin pembakaran dalam dengan tiga motor elektrik. Dua motor elektrik untuk setiap satu tayar depan, manakala satu lagi terletak di antara enjin dan transmisi di belakang.

3. Enjin V8 paling berkuasa

Di belakang kabin SF90 ialah enjin 4.0-liter V8 turbo 90-darjah menghasilkan 780hp dan 800Nm tork, paling berkuasa dalam sejarah enjin V8 Ferrari.

Baki 220hp dijana oleh tiga motor elektrik yang dikenali sebagai MGUK (Motor Generator Unit, Kinetic) yang diambil dari teknologi F1.

Transmisi pula ialah unit automatik dwi-klac 8-kelajuan.

4. Ferrari pertama AWD

Walaupun bukan sebuah SUV, Ferrari SF90 merupakan model pertama dengan AWD (pacuan semua-roda). Ini kerana enjin dan satu motor elektrik memacu roda belakang, manakala dua lagi motor elektrik memacu roda depan.

Dengan kebolehan AWD inilah yang memberikan SF90 pecutan 0-100 dalam 2.5 saat dan 0-200km/j dalam 6.7 saat.

5. Motor elektrik menjadikan Ferrari ini FWD

Selain AWD, Ferrari SF90 juga boleh menjadi FWD (pacuan roda-depan) pada masa-masa tertentu. Dengan dua motor elektrik di gandar depan berkuasa 220hp, Ferrari SF90 sebenarnya jentera FWD semasa dalam mod EV (elektrik sepenuhnya).

6. Aerodinamik

Faktor aerodinamik menjadi elemen penting bagi sesebuah supercar yang boleh mencapai kelajuan tinggi, begitu juga Ferrari SF90.

Antara cabaran utama dalam pembangunan SF90 adalah untuk mengalirkan udara untuk mencapai tahap downforce, tetapi pada masa yang sama memastikan sistem-sistem enjin, motor elektrik, bateri dan inverter sentiasa berfungsi dalam keadaan baik.

Downforce SF90 ialah sebanyak 390kg pada kelajuan 250km/j dan mempunyai tahap kecekapan aerodinamik terbaik dalam kelasnya.

Penyejukan sistem enjin dan elektrik pula dicapai dengan rekaan-rekaan unik di sekeliling badan kenderaan untuk menyalurkan udara panas dari enjin dan elektronik yang sensitif keluar dengan berkesan.

7. Kabin lebih rapat ke depan

Mengambil rekaan yang sama sejak Ferrari 360 Modena, SF90 juga menampilkan rekaan kabin yang lebih dekat dengan bahagian depan kereta untuk mengurangkan seretan (drag).

8. Ergonomik litar

Rekaan dalam SF90 mengambil falsafah “mata di jalan, tangan di stereng” untuk memberikan ergonomik terbaik kepada pemandu.

Kluster instrumen SF90 terdiri dari skrin digital 16-inci beresolusi tinggi yang melengkung ke arah pemandu.

Seperti model-model Ferrari lain, SF90 menampilkan butang-butang kawalan yang kebanyakannya berada di roda stereng.

9. Gear moden gaya klasik

Ciri menarik pada model Ferrari terkini ialah rekaan suis-suis pada konsol tengah yang menyerupai gear manual seperti pada model klasik.

10. Assetto Fiorano lebih berkuasa

Untuk kali pertama, versi Assetto Fiorano ditawarkan untuk mereka yang mahukan lebih kuasa dan prestasi dari SF90.

Assetto Fiorano merangkumi penyerap hentak Multimatic, bahan gentian karbon (untuk pintu dan bawah badan), titanium (spring, ekzos) yang mengurangkan berat sebanyak 30kg. Terdapat juga tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 untuk prestasi terbaik di litar.

11. Empat mod pemanduan

Melalui eManettino pada stereng, pemandu boleh memilih empat mod pemanduan iaitu eDrive, Hybrid, Performance dan Qualify.

Bilik pameran Naza Italia baharu

Jom subscribe telegram Motoqar untuk berita pantas di: https://t.me/motoqar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here