
Berita kurang enak, SUV off-road Suzuki Jimny bakal dikuburkan di Eropah tidak lama lagi disebabkan oleh peraturan pelepasan emisi yang semakin ketat.
Sebagai tanda penghormatan, Suzuki Perancis melancarkan Jimny tiga pintu edisi ulang tahun yang ke-55 dengan unit produksi dihadkan kepada 55 unit sahaja.
Model pengakhiran tersebut mempunyai spesifikasi yang mirip kepada Jimny Horizon yang dilancarkan di pasaran Jerman.
Ia dilengkapi dengan beberapa ciri unik seperti jeriji hadapan retro, decal sisi retro, penutup tayar simpanan Rhino, alas lantai getah, mudflap berlogokan Jimny, buku log istimewa serta key chain eksklusif.
Setiap pembeli akan turut menerima latihan pemanduan 4×4 daripada Suzuki.
Terdapat empat pilihan warna iaitu putih, Jungle Green, Bluish Black dan Medium Gray.
Secara standard, Jimny 3-Door dilengkapi dengan sistem pendingin hawa, pemanas tempat duduk, sistem audio Bluetooth, serta ciri keselamatan termasuklah amaran keluar lorong, amaran penukaran lorong, sistem pengecaman papan tanda trafik dan banyak lagi.
Suzuki Jimny masih lagi mengekalkan enjin 1.5 liter dengan kuasa 102 hp yang dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan dan sistem pacuan semua roda AllGrip Pro.
Harga jualan untuk Suzuki Jimny 55th Anniversary Edition bermula dari €28,955 (RM141,428).