Strategi Bateri Perodua QV-E : Bayaran RM275 sebulan, bebas kebimbangan

85

Perodua rasmi melancarkan kereta elektrik (EV) sulungnya yang dinamakan sebagai QV-E pada harga RM80,000 seunit. 

Model itu boleh ditempah menerusi sembilan pusat jualan sah iaitu Perodua Sentral, PSSB Juru, PSSB Ipoh 2, PSSB Kota Bharu 1, PSSB Kuantan, PSSB Johor Bahru 1, PSSB Senawang, PSSB Glenmarie dan PSSB Putrajaya. 

QV-E yang merupakan singkatan kepada Quest for Visionary Electric Vehicle didatangkan dengan skim Battery-as-a-Service (BaaS) melibatkan ansuran bulanan RM275 dengan pembayaran tunggal bersama pembiayaan kenderaan. 

BaaS adalah mandatori dan tiada pilihan untuk membeli bateri secara langsung. Pelanggan tidak perlu membuat dua kali transaksi yang mana pembayaran (kereta+bateri) dilakukan kepada bank manakala pihak bank akan menyerahkan ansuran bateri kepada Perodua.

Skim bateri itu bertujuan untuk memberikan pengalaman bebas kebimbangan kepada pengguna selepas mengambilkira kos penggantian dan nilai jualan yang rendah serta isu pelupusan bateri. 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Sri Zainal Abidin Ahmad, pajakan bateri adalah selama sembilan tahun (108 bulan).

“Ini first time diperkenalkan, dan the idea adalah ‘worry free’, tidak perlu risau mengenai bateri, range anxiety ke, tak payah risau pasal bateri punya lifetime, warranty whatsoever.

“Selepas 108 bulan, anda boleh terus menggunakan bateri itu sampai habis. Tidak payah bayar sewa apa-apa,” katanya selepas sesi pandu uji di Litar Sepang Antarabangsa, baru-baru ini. 

Jelasnya, ia bagi meminimumkan kos dan memastikan bateri QV-E dalam keadaan terbaik dan penggantian baharu dijalankan apabila prestasi bateri menurun di bawah 70 peratus. 

“Tetapi, dalam masa 108 bulan itu, sekiranya tiga tahun atau empat tahun bateri rosak, kita ada skim waranti. Perodua akan ganti bateri baharu, tak payah extend rental. 

“Sepanjang proses itu, penyelenggaraan adalah di bawah Perodua, insurans bateri juga di bawah Perodua, dan segala-galanya di bawah Perodua. Sebab itu kami kata waranti seumur hidup.

“Penyelenggaraan kenderaan pelanggan kena bayarlah. Tetapi bateri dan segala-galanya sebenarnya di bawah Perodua,”ujar Zainal Abidin. 

Pengurusan Aset Bateri & Pasport Bateri

Datuk Zainal turut menegaskan bahawa bateri kekal sebagai aset milik Perodua walaupun selepas sembilan tahun.

Perodua juga akan memantau aset bateri melalui Nombor Bateri yang dikaitkan dengan dasar Pasport Bateri yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Sistem pengawasan ini bertujuan untuk mengesan jika bateri ditanggalkan atau diganggu (tampered), dan tidak digunakan untuk memantau pergerakan kenderaan.

Bagi urusan jual beli kenderaan terpakai, pemilik perlu menjualnya melalui program Pre-Owned Vehicle Buyback (PoPB) Perodua untuk mendaftarkan pajakan bateri kepada pemilik baharu. Pemilik baharu akan menyambung baki tempoh pajakan bateri yang sama.

“Basically the leasing is on the battery. Katalah bateri tu saya bagi misalnya Bateri A. Leasing is actually based on Bateri A. So, if you use bateri up to five years, then you sell, you stop your leasing lah because you never use bateri A.

“But new customer will take over the car and still using the Bateri A, they just continue the balance of four years, because dia leasing on the bateri. Tapi kalau kita tukar bateri, it becomes Bateri B, then the new leasing will start from for Bateri B,” jelasnya. 

Dalam pembangunan ekosistem, Perodua komited untuk membangunkan rantaian bekalan domestik, termasuk komponen kritikal seperti sistem bateri dan motor elektrik. Bateri untuk model QVE dibekalkan oleh syarikat bertaraf global, CATL.

Perancangan Kitaran Hayat Kedua (Second Life)

Mengenai kitaran hayat bateri, Perodua telah mempunyai perancangan untuk kitar semula bateri mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Pasport Bateri negara.

Namun, sebelum kitar semula, syarikat itu merancang untuk menggunakan bateri tersebut untuk tujuan kitaran hayat kedua (second life), contohnya sebagai penyimpanan tenaga (energy storage). Pengumuman program ini dijangka akan dibuat dalam tempoh enam bulan akan datang.

RINGKASAN PAJAKAN BATERI

Oleh kerana Perodua yang memiliki bateri tersebut, mereka bertanggungjawab penuh ke atas pengurusannya.

  • Tiada Isu Pelupusan: Apabila bateri tamat hayat, Perodua akan menguruskan kitar semula secara selamat dan mengikut undang-undang. Anda tidak perlu risau tentang pelupusan bateri yang besar itu.
  • Ada “Battery Tracker”: Setiap bateri dipasang dengan alat pengesan. Jika kereta terbiar atau bateri dicabut tanpa kebenaran, Perodua akan menghantar pasukan “Battery Rescue” untuk mengambilnya. Ini bagi memastikan keselamatan dan mencegah pencemaran.
  • Penggantian Bateri: Sekiranya prestasi bateri jatuh di bawah 70 peratus daripada State of Health (SOH) dalam tempoh 108 bulan, Perodua akan menggantikannya dengan bateri baharu, dan pajakan baharu akan bermula.
  • Kerosakan: Sekiranya bateri rosak dalam tempoh tersebut, Perodua akan menggantikannya tanpa melanjutkan tempoh pajakan melebihi sembilan tahun yang asal.
  • Selepas 9 Tahun: Pelanggan boleh terus menggunakan bateri selepas tempoh 108 bulan tamat tanpa sebarang bayaran sewa, selagi SOH bateri kekal di atas 70 peratus.
  • Penyelenggaraan Bateri: Penyelenggaraan bateri, insurans bateri, dan segala-galanya yang berkaitan dengan aset bateri berada di bawah tanggungjawab Perodua.

Pengeluaran besar-besaran telah pun bermula di Loji Mobiliti Pintar baharu dalam pangkalan besar Perodua di Sg Choh, dan fungsi tertentu akan dilakukan di loji Tan Chong Serendah yang kurang digunakan, yang terletak hanya bersebelahan dengan P2. Sasaran jualan awal untuk QV-E ialah 500 unit sebulan, tetapi Perodua menyasarkan 3,000 unit sebulan selepas S4 2026.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here