
Nissan Motor India melancarkan Nissan Gravite serba baharu di Udaipur pada 17 Februari 2026. Model kenderaan pelbagai guna (MPV) tujuh tempat duduk ini ditawarkan pada harga pengenalan yang sangat kompetitif bermula daripada INR 565,000 atau sekitar RM24,295.
Pelancaran ini merupakan produk pertama di bawah strategi agresif Nissan Motor India, yang menandakan fasa kebangkitan semula Nissan di sana.
Inspirasi nama Gravite diambil daripada kepelbagaian 1.4 bilion penduduk India serta 19,000 bahasa daerah dan pelbagai adat resam yang membentuk negara tersebut.
Dihasilkan di Chennai melalui rakan pakatan Nissan, model ini direka khusus untuk memenuhi aspirasi keluarga di India yang mahukan kenderaan dengan gabungan ruang, keselesaan dan praktikaliti harian.
Nissan Gravite dibangunkan berasaskan platform yang sama dengan Renault Triber melalui kerjasama pakatan Nissan-Renault di India.
Langkah ini membolehkan Nissan menawarkan sebuah MPV kompak yang telah terbukti praktikalitinya namun disuntik dengan identiti dan bahasa reka bentuk khas Nissan untuk memenuhi keperluan mobiliti keluarga moden.
Reka Bentuk Luaran Rugged
Nissan Gravite menampilkan identiti visual rugged dengan bahasa reka bentuk global Nissan.
Model ini mempunyai profil yang tinggi dengan garis badan sasa serta gerbang roda yang menonjol untuk memberikan imej tegap di atas jalan raya.
Jarak kelegaan tanah yang tinggi turut memastikan Gravite sesuai dengan pelbagai keadaan jalan raya di India.
Elemen reka bentuk berbentuk C yang ikonik pada bahagian hadapan dan belakang memastikan pengecaman jenama yang segera.
Di antara ciri luaran utama termasuk sistem lampu LED penuh, lampu hadapan LED dengan lampu siang DRL bersepadu serta lampu belakang LED Crystal Edge.
Selain itu, Gravite turut dilengkapi lampu kabus LED, gril 2D berwarna Piano Black, rel bumbung yang berfungsi serta pintu dengan bukaan luas untuk kemudahan keluar masuk.
Ruang Dalaman 2 hingga 7 penumpang
Bahagian kabin Gravite menawarkan konfigurasi tempat duduk yang anjal untuk dua hingga tujuh penumpang.
Ruang tempat duduk dilengkapi bahan suede premium dan kulit buatan jenis quilted untuk keselesaan tinggi.
Penumpang baris pertama mendapat ruang bahu dan siku yang luas manakala penumpang baris kedua serta ketiga menikmati ruang kepala dan lutut yang mencukupi.
Sistem penyaman udara telah ditala untuk iklim tropika dengan corong udara pada ketiga-tiga baris tempat duduk. Penumpang baris kedua turut mendapat kawalan penyaman udara berasingan.
Ciri praktikal lain termasuk tempat rehat lengan baris pertama kotak simpanan di bahagian bawah papan pemuka dan konsol tengah dengan penyejuk serta pelbagai ruang simpanan pintar lain.
Teknologi dan Ketersambungan Moden
Nissan melengkapkan Gravite dengan pelbagai teknologi untuk meningkatkan kemudahan pemanduan.
Sistem maklumat hibur menggunakan skrin jenis terapung bersaiz lapan inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Pemandu juga dibekalkan dengan kluster instrumen digital penuh bersaiz tujuh inci yang canggih.
Ciri moden lain pada Gravite seperti pengecas tanpa wayar, lampu hadapan LED automatik dengan fungsi Follow me home dan penderia parkir hadapan dan belakang.
Turut dilengkapi sistem Walk Away Lock (WAL) dan Approach Unlock (AUL) yang mengunci atau membuka pintu secara automatik berdasarkan jarak kunci dengan kereta.
Standard Keselamatan
Aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan lebih 30 ciri keselamatan standard yang dibekalkan pada semua varian.
Ini termasuk enam beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Sistem Bantuan Brek (BAS) serta sistem brek ABS dengan EBD.
Selain itu, peringatan tali pinggang keselamatan turut disediakan untuk semua penumpang bagi memastikan perlindungan menyeluruh.
Rangkaian Kuasa
Nissan Gravite dikuasakan oleh enjin petrol yang cekap dan telah ditala untuk memberikan pecutan yang lancar serta prestasi yang stabil bagi pemanduan bandar mahupun lebuh raya.
- Enjin 1.0L 3 silinder aspirasi semulajadi
- Kuasa maksimum 72ps pada 6,250 rpm
- Tork puncak 96Nm pada 3,400 hingga 3,600 rpm
- Transmisi manual 5 kelajuan atau Ez-shift automatik manual (AMT) 5 kelajuan
- Penggunaann bahan api 19.6 km/l bagi versi AT dan 19.3 km/l bagi versi MT
Gravite Launch Edition Dalam Tempoh Terhad
Bagi meraikan pelancarannya Nissan menawarkan Gravite Launch Edition dalam tempoh terhad yang dilengkapi dengan ciri premium tambahan.
Di antaranya pembesar suara premium JBL, dua kamera pemuka, pembersih udara, lampu suasana, kusyen leher dan kusyen sokongan tulang belakang.
Dari sudut kosmetik, ia menerima kemasan aero berbentuk C, sisipan aero pada gerbang roda, grafik Drift Flow, pelindung pintu, kemasan krom premium pada garisan badan, serta bingkai gear berwarna krom.
Pelancaran Gravite merupakan permulaan kepada barisan model baharu Nissan di India yang akan diikuti oleh C-SUV Tekton pada pertengahan 2026 dan sebuah lagi C-SUV 7 tempat duduk pada awal 2027.
Spesifikasi Utama
- Enjin 1.0L 3 silinder aspirasi semulajadi (72ps / 96Nm)
- Transmisi manual 5 kelajuan atau Ez-shift (AMT) 5 kelajuan
- Konfigurasi tempat duduk modular 2 hingga 7 penumpang
- Kapasiti but 625 liter untuk 5 penumpang
- Kapasiti but 320 liter untuk 6 penumpang
- Kapasiti but 84 liter untuk 7 penumpang
- Skrin maklumat hibur 8 inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar
- Kluster instrumen digital penuh 7 inci
- 6 beg udara sebagai standard keselamatan
- Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Kawalan Cengkaman (TCS)
- Bantuan Mula Mendaki (HSA) dan Bantuan Brek (BAS)
- Sistem brek ABS dengan EBD
- Lampu hadapan LED automatik dengan fungsi Follow me home
- Pengecas peranti tanpa wayar
- Pilihan warna Forest Green Onyx Black Blade Silver Storm White Metallic Grey
Senarai Harga Nissan Gravite
- Visia: INR 565,000 (sekitar RM 24,295)
- Acenta: INR 659,000 (sekitar RM 28,337)
- N-connecta: INR 720,000 (sekitar RM 30,960)
- N-connecta Amt: INR 780,000 (sekitar RM 33,540)
- Tekna: INR 791,000 (sekitar RM 34,013)
- Tekna Amt: INR 849,000 (sekitar RM 36,507)
Kredit gambar: Nissan








































