
Di pasaran tempatan, segmen kereta kompak atau kei-car dari Jepun sememangnya dikuasai oleh Honda N-BOX yang boleh ditemui di merata tempat.
Di sebalik populariti tersebut, terdapat sejumlah lagi model kompak yang turut dibawa masuk oleh pengimport bebas, di antaranya adalah Toyota Tank.
Walau bagaimanapun, Toyota Tank bukan sebuah kei-car meskipun saiznya kelihatan kecil.
Tank digerakkan enjin 1.0 liter biasa atau turbo yang menjadikannya pilihan menarik buat pelanggan tempatan yang mahukan sebuah kereta kecil dengan prestasi enjin lebih berkuasa.
Di pasaran tempatan, unit terpakai atau reconditioned Toyota Tank boleh dimiliki pada harga serendah RM60,000 hingga RM100,000 bergantung kepada tahun pembuatan dan gred.
Untuk makluman, model Tank dan Roomy ini sebenarnya berkongsi platform yang sama dengan Daihatsu Thor.
Namun, tinjauan terkini di laman web rasmi Toyota Jepun menunjukkan model Tank tidak lagi ditawarkan, meninggalkan Toyota Roomy sebagai satu-satunya model yang meneruskan kelangsungan segmen ini.
Dua Identiti Berbeza: Toyota Roomy dan Toyota Tank
Roomy dan Tank dilancarkan di Jepun pada 9 November 2016 dan duo minivan kompak ini dibangun berasaskan konsep 1LD-CAR.
Nama ini membawa maksud gaya hidup nombor satu (1-First), ruang dalaman luas seperti ruang tamu (L-Living), serta prestasi pemanduan mantap (D-Driving) dalam sebuah kereta (CAR).
Duo ini disasarkan khusus untuk keluarga muda yang mempunyai anak kecil serta pelanggan yang mengamalkan gaya hidup aktif.
Meskipun berkongsi platform, kedua-dua model membawa identiti visual berbeza.
Toyota Roomy direka untuk menonjolkan imej yang megah dan eksklusif, manakala Toyota Tank lebih memfokuskan kepada elemen dinamik dan agresif.
Bagi pengguna yang mahu penampilan lebih premium, varian Custom tersedia untuk kedua-dua model dengan kemasan krom serta reka bentuk bampar eksklusif, menjadikan keseluruhan pilihan rupa hadapan terbahagi kepada empat reka bentuk berbeza.
Ruang Dalaman Fleksibel dan Praktikal
Kekuatan utama Roomy dan Tank terletak pada reka bentuk kabin yang sangat praktikal.
Dengan penggunaan tempat duduk jenis walkthrough, penumpang boleh bergerak di antara baris hadapan dan belakang dengan mudah.
Kerusi belakang mempunyai fungsi lungsur sejauh 240 mm ke hadapan, membolehkan ruang kargo memuatkan sehingga empat beg pakaian saiz kabin walaupun dengan kehadiran lima penumpang.
Untuk keselesaan tambahan, penyandar kerusi belakang boleh direbahkan sehingga 70 darjah bagi mewujudkan ruang tidur di dalam kabin.
Selain itu, mekanisme dive-in membolehkan kerusi belakang dilipat rata sepenuhnya untuk mengangkut barangan besar dengan panjang kargo melebihi 1,500 mm.
Pemilik yang gemar berbasikal juga boleh menggunakan papan dek yang boleh diterbalikkan serta helaian pelindung kotoran untuk membawa basikal di dalam kenderaan.
Ciri Keselesaan dan Teknologi Pintar
Toyota memastikan akses keluar masuk adalah semudah mungkin dengan penggunaan pintu gelongsor elektrik dua sisi yang boleh dibuka dengan satu sentuhan.
Pintu ini juga dilengkapi fungsi kunci boleh atur cara. Bagi memudahkan kanak-kanak dan orang dewasa, pemegang bantuan bersaiz besar turut dipasang pada tiang kenderaan.
Di bahagian pemandu, terdapat paparan pelbagai maklumat TFT berwarna bersaiz 4.2 inci yang memaparkan amaran serta peringatan penyelengaraan.
Ciri Panoramic View turut ditawarkan bagi membantu urusan parkir atau ketika melalui persimpangan yang mempunyai titik buta, di mana empat kamera akan memaparkan pandangan atas kenderaan pada skrin utama.
Prestasi Enjin dan Kecekapan Bahan Api
Model ini ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa yang berbeza.
Varian pertama menggunakan enjin 1.0 liter tiga silinder yang telah ditala untuk memberikan pecutan yang lancar di dalam bandar.
Varian kedua pula digerakkan enjin 1.0 liter tiga silinder turbo baharu yang mampu menghasilkan tork setara dengan enjin kelas 1.5 liter iaitu sebanyak 140Nm.
Enjin turbo ini memberikan pecutan yang bertenaga di lebuh raya malah dilengkapi dengan Sports Mode untuk tindak balas pecutan yang lebih cemerlang.
Bagi meningkatkan kualiti pemanduan, ketegaran badan dan sistem ampaian telah diperkukuh bagi memastikan pengendalian yang stabil dan selesa dari pemanduan bandar sehinggalah ke lebuh raya.
Dari segi penggunaan petrol, model pacuan dua roda mencatatkan 24.6 km/L manakala model pacuan empat roda mencatatkan 22.0 km/L.
Bagi varian enjin turbo pula, kecekapan bahan api adalah pada kadar 21.8 km/L.
Sistem Keselamatan Smart Assist II
Dari aspek keselamatan, kedua-dua model ini dilengkapi sistem bantuan pengelakan perlanggaran Smart Assist II.
Sistem ini merangkumi lima fungsi utama iaitu amaran perlanggaran untuk kenderaan dan penumpang, bantuan brek pengelakan perlanggaran untuk kenderaan, kawalan mula tidak sengaja untuk pergerakan hadapan dan belakang, amaran lencongan lorong, serta fungsi notifikasi apabila kenderaan di hadapan mula bergerak.
Ciri-Ciri Toyota Tank dan Roomy 2016
- Enjin Standard: 1.0 liter 1KR-FE tiga silinder
- Enjin Turbo: 1.0 liter 1KR-VET tiga silinder turbo
- Output Tork Turbo: 140Nm
- Transmisi: CVT (Continuously Variable Transmission)
- Sistem Pacuan: Roda hadapan (2WD) atau empat roda (4WD)
- Kecekapan bahan api 2WD: 24.6 km/L
- Kecekapan bahan api 4WD: 22.0 km/L
- Kecekapan bahan api Turbo: 21.8 km/L
- Radius pusingan minimum: 4.6 m (dengan tayar 14 inci) atau 4.7 m (dengan tayar 15 inci)
- Jarak antara penumpang depan dan belakang: 1,105 mm
- Kapasiti storan tengah: 5 liter (boleh ditanggalkan)
- Pelarasan lungsur kerusi belakang: 240 mm
- Panjang ruang kargo maksimum: Melebihi 1,500 mm
- Sudut baring kerusi belakang: Maksimum 70 darjah
- Pilihan warna: 14 warna keseluruhan (9 warna badan dan 5 gabungan dua tona)
- Harga jualan (Jepun): 1,463,400 sehingga 1,965,600 Yen
- Harga pasaran tempatan (Recon): RM60,000 sehingga RM100,000
Toyota Tank 2016
Toyota Roomy 2016
Toyota Tank dan Roomy 2016










































