Utama Berita Automotif Tragedi Xiaomi SU7: Laporan dedah pintu gagal buka akibat kehilangan kuasa

Tragedi Xiaomi SU7: Laporan dedah pintu gagal buka akibat kehilangan kuasa

15

Hasil siasatan kemalangan Xiaomi mendedahkan kenderaan itu dipandu pada kelajuan 167kmj dan menurut laporan forensik pemandu gagal keluar susulan pintu tidak dapat dibuka akibat sistem voltan rendah kehilangan kuasa.

Insiden yang berlaku pada 13 Oktober 2025 itu mengakibatkan kematian seorang lelaki dikenali sebagai Deng, 31 yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kemalangan berlaku sekitar jam 3 pagi apabila Xiaomi SU7 itu melanggar sebuah kereta lain di Tianfu Avenue South, Chengdu kemudian melepasi pembahagi jalan tengah lalu terbakar.

Laporan forensik dari Pusat Penilaian Kehakiman Pengangkutan Sichuan Huaxi mendedahkan butiran kritikal mengenai kemalangan tersebut.

Keputusan siasatan mendapati kereta elektrik (EV) itu bergerak pada kelajuan kira-kira 203kmj iaitu tiga saat sebelum pelanggaran. Kemudian kelajuan perlahan kepada 167kmj ketika ia melanggar kenderaan depan dan kelajuan menjadi 138kmj apabila ia  melanggar pembahagi jalan tengah.

Isu yang membimbangkan pakar keselamatan apabila menemui bahawa pintu tidak dapat dibuka dari luar kerana pelanggaran menyebabkan sistem voltan rendah kehilangan kuasa sekaligus melumpuhkan fungsi pelepasan pemegang pintu.

Laporan itu menyatakan bahawa pintu kereta tersebut mempunyai butang pelepasan elektrik pada bahagian luar tetapi ketiadaan pemegang mekanikal kecemasan yang boleh beroperasi tanpa kuasa.

Saksi kejadian, Yuan memberitahu Caixin bahawa kenderaan tersebut mengalami tiga kebakaran berasingan dalam masa lima minit selepas pelanggaran.

“Walaupun terdapat usaha daripada ramai orang awam yang cuba menyelamatkan pemandu, pintu tetap tidak dapat dibuka sama ada dari dalam atau luar kenderaan,” jelasnya. 

Rakaman video menunjukkan seseorang menarik pintu pemandu dengan begitu kuat sehingga tersungkur ke belakang namun pintu tetap tertutup rapat.

Seorang lagi penyelamat berjaya memecahkan tingkap dengan sepana dan menghulurkan tangan ke dalam untuk mencari pemegang pintu dalaman, tetapi melaporkan komponen itu tidak dapat dibuka sebelum satu letupan perlahan kedengaran dari bawah kenderaan.

Kenderaan tersebut menggunakan pintu elektrik dengan pemegang pelepasan mekanikal kecemasan yang terletak pada kedudukan yang memerlukan seseorang menghulurkan tangan sepenuhnya melalui tingkap untuk mencapainya dari luar, seperti yang disahkan oleh wartawan Caixin di sebuah bilik pameran kereta Xiaomi.

Ini menandakan insiden kebakaran kenderaan Xiaomi yang ketiga pada tahun 2025 dan kali kedua persoalan dibangkitkan mengenai kegagalan bukaan pintu selepas pelanggaran.

Pada Mac 2025, sebuah Xiaomi SU7 terbabas di lebuh raya di Tongling, wilayah Anhui, yang mengakibatkan tiga kematian. Kebimbangan yang sama mengenai pintu yang terkunci telah dibangkitkan dalam insiden tersebut.

SEMUA PINTU WAJIB GUNA PEMEGANG MEKANIKAL

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China telah bertindak balas terhadap kebimbangan keselamatan itu dengan merangka piawaian mandatori baharu untuk pemegang pintu kereta.

Peraturan baharu itu yang diluluskan pada Januari, akan mewajibkan semua pintu dilengkapi dengan pemegang mekanikal yang boleh beroperasi tanpa kuasa, walaupun selepas kegagalan bateri atau insiden pelarian terma. 

Pengeluar mempunyai masa sehingga 2027 untuk melaksanakan perubahan berkenaan pada model baharu dan sehingga 2029 untuk model sedia ada.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here