
Salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan Sabtu lalu dipercayai mengekori Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, selama sebulan sebelum kejadian tembakan pada 25 Februari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki tempatan itu disyaki mengekori mangsa ke masjid dan pejabat pada awal pagi dalam tempoh kira-kira sebulan sebelum insiden berkenaan.
“Lelaki itu merupakan antara tiga suspek berusia 44 hingga 58 tahun yang ditahan sekitar lokasi kejadian.
“Antara alasan tangkapan dibuat adalah kerana salah seorang daripada mereka disyaki sebagai individu yang mengekori mangsa kira-kira sebulan sebelum ini ketika mangsa ke masjid dan pejabat pada awal pagi,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan merangkumi pelbagai aspek termasuk meneliti setiap maklumat yang diperoleh setakat ini.
“Daripada 10 suspek termasuk seorang wanita Thailand yang ditahan sejak hari kejadian, seorang lelaki telah dibebaskan dengan jaminan polis dua hari lalu kerana siasatan telah selesai dan polis berpuas hati bahawa dia tidak terlibat dalam kejadian itu,” katanya.
Jelasnya, setakat ini tiada pengakuan penglibatan dalam kes tembakan, namun kebanyakannya mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan di sempadan.
Sementara itu, ketika ditanya berhubung penglibatan kumpulan Geng Pak Su, beliau mengakui siasatan sedang dilakukan namun enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak boleh dedahkan dahulu tahap mana keterlibatan dengan kes ini. Cuma saya katakan memang ada kaitan, sebab itu kita perlu selidik dan siasat lanjut,” tambahnya.


