Utama Berita Automotif Triumph Speed Twin 1200 TFC 2027 – edisi terhad 750 unit yang...

Triumph Speed Twin 1200 TFC 2027 – edisi terhad 750 unit yang anggun bergaya

5

Triumph Motorcycles memperkenalkan Speed Twin 1200 TFC 2027, model kelima dalam siri motosikal eksklusif Triumph Factory Custom (TFC).

Dihasilkan dalam jumlah terhad hanya 750 unit untuk pasaran dunia, motosikal ini dibangunkan berasaskan Speed Twin 1200 RS, tetapi diberikan sentuhan lebih eksklusif menerusi penggunaan komponen premium, kemasan mewah serta talaan prestasi yang lebih agresif.

Program Triumph Factory Custom mula diperkenalkan pada 2019 sebagai barisan model edisi khas yang menampilkan mutu binaan lebih premium, prestasi dipertingkat serta kemasan yang dihasilkan dengan lebih teliti.

Sebelum ini, hanya Thruxton TFC, Rocket 3 TFC dan dua generasi Bobber TFC ditempatkan dalam koleksi eksklusif tersebut.

Bagi Speed Twin 1200 TFC, setiap unit dihasilkan secara individu dengan nombor siri tersendiri yang diukir menggunakan laser pada top yoke daripada bilet aluminium, selain turut disertakan Sijil Ketulenan sebagai pengesahan keaslian.

Penampilan lebih eksklusif dengan sentuhan gentian karbon

Berbanding Speed Twin 1200 RS, model TFC tampil lebih eksklusif menerusi penggunaan panel badan gentian karbon berkilat pada pengadang lumpur depan dan belakang, panel sisi serta pelindung tumit.

Ia dipadankan dengan skema warna Obsidian Gold yang menggabungkan asas hitam metalik bersama kemasan metalik emas, menghasilkan kesan kilauan yang berubah mengikut sudut cahaya.

Triumph turut memberikan pelbagai sentuhan premium bagi membezakan model TFC daripada Speed Twin 1200 RS.

Antaranya termasuk rantai berwarna emas, bahagian bawah fork dengan kemasan emas anod serta cermin sisi jenis hujung (bar-end mirror) yang diperbuat daripada aluminium dimesin.

Bahagian pelana pula menggunakan gabungan kulit dan suede dengan jahitan tangan bagi menyerlahkan imej eksklusif.

Kemasan hitam turut digunakan pada pelbagai komponen termasuk enjin, sproket belakang, plat kawalan dan sistem ekzos bagi melengkapkan penampilan sporti motosikal ini.

Setiap pembeli turut menerima sarung motosikal untuk kegunaan dalaman serta penutup pelana kalis air yang disediakan sebagai aksesori standard.

Ergonomik lebih sporti untuk tunggangan lebih agresif

Selain perubahan kosmetik, Triumph turut memberi perhatian kepada aspek ergonomik bagi meningkatkan pengalaman tunggangan.

Speed Twin 1200 TFC menggunakan hendal jenis clip-on, top yoke bilet aluminium serta kedudukan pemijak kaki yang dialihkan sedikit ke belakang bagi menghasilkan kedudukan tunggangan lebih sporti.

Gabungan tersebut memberikan hubungan yang lebih baik antara penunggang dan motosikal, sekali gus meningkatkan keyakinan ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Dari segi pencahayaan, Speed Twin 1200 TFC masih mengekalkan lampu utama LED berbentuk bulat yang menjadi identiti keluarga Bonneville.

Bahagian belakang pula menggunakan lampu LED pelbagai fungsi yang menggabungkan lampu isyarat, lampu brek dan lampu belakang dalam satu unit untuk menghasilkan penampilan lebih kemas.

Casis premium dipadankan suspensi Öhlins

Bagi memastikan pengendalian setanding penampilan, Speed Twin 1200 TFC menggunakan rangka tubular keluli bersama cradle keluli seperti model RS, namun dipadankan dengan komponen casis bertaraf premium.

Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik Öhlins bersaiz 43 mm di hadapan dan penyerap hentak berkembar Öhlins RSU dengan takungan luaran di belakang.

Kedua-duanya menawarkan pelarasan penuh bagi prabeban, mampatan dan redaman lantunan, membolehkan talaan disesuaikan mengikut gaya tunggangan masing-masing.

Prestasi membrek pula dipertingkat menerusi penggunaan angkup Brembo Stylema M4.30 radial bersama silinder induk Brembo radial dan tuil MCS boleh laras.

Di belakang, Triumph menggunakan cakera tunggal 220 mm bersama angkup terapung dua omboh Nissin, selain turut dilengkapi sistem Optimised Cornering ABS (OCABS).

Model ini turut menggunakan rim aloi tuangan tujuh jejari yang lebih ringan bagi mengurangkan inersia, sekali gus membantu meningkatkan kelincahan ketika menukar arah.

Ia dipadankan dengan tayar Metzeler Racetec RR K3 yang menawarkan tahap cengkaman tinggi untuk tunggangan jalan raya mahupun tunggangan lebih agresif.

Enjin Bonneville 1,200 cc hasilkan 105 PS dan 112 Nm

Speed Twin 1200 TFC kekal dengan enjin Bonneville kembar selari (parallel-twin) dengan konfigurasi SOHC lapan injap dan aturan pencucuhan 270 darjah yang menjadi identiti keluarga Bonneville.

Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 105 PS pada 7,750 rpm serta tork maksimum 112 Nm seawal 4,250 rpm.

Karakter enjin menawarkan tork tinggi seawal putaran rendah membolehkan motosikal ini memberikan pecutan yang responsif tanpa perlu memerah enjin pada rpm tinggi.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan bersama sistem Triumph Shift Assist yang membolehkan pertukaran gear dilakukan tanpa menggunakan klac.

Sistem klac jenis slip and assist pula membantu mengurangkan tekanan pada tuil klac selain meningkatkan kestabilan ketika menurunkan gear.

Sistem ekzos keluli tahan karat konfigurasi 2-into-2 dipadankan dengan dua peredam bunyi titanium Akrapovič yang bukan sahaja lebih ringan, malah menghasilkan bunyi enjin Bonneville yang lebih garang.

Tiga mod tunggangan dan pelbagai teknologi moden

Seperti Speed Twin 1200 RS, varian TFC turut dilengkapi pakej elektronik moden yang memberi tumpuan kepada pengalaman tunggangan tanpa menghilangkan karakter klasiknya.

Sistem pendikit elektronik (ride-by-wire) menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain.

Mod Sport memberikan respons pendikit lebih pantas, manakala mod Road sesuai untuk kegunaan harian.

Mod Rain pula mengurangkan tindak balas pendikit bagi meningkatkan keselamatan ketika permukaan jalan licin.

Teknologi Optimised Cornering ABS dan Optimised Cornering Traction Control memantau sudut condongan motosikal, kelajuan serta tahap cengkaman tayar bagi memastikan sistem keselamatan hanya campur tangan apabila diperlukan.

Di hadapan penunggang terdapat paparan instrumen LCD bersama skrin TFT berwarna yang memaparkan pelbagai maklumat tunggangan.

Triumph turut menyediakan port pengecas USB-C bagi memudahkan pengecasan peranti elektronik ketika perjalanan jauh.

Harga dan ketersediaan

Tempahan Triumph Speed Twin 1200 TFC 2027 sudah dibuka untuk pelanggan di United Kingdom pada harga bermula £18,495 (RM101,052).

Penghantaran pertama kepada pelanggan dijadual bermula pada Oktober 2026.

Pengeluaran Speed Twin 1200 TFC dihadkan kepada hanya 750 unit di seluruh dunia, sekali gus menjadikannya antara model Triumph paling eksklusif yang pernah dihasilkan.

Pada masa sama, penambahbaikan dari aspek casis, suspensi dan ergonomik menjadikannya bukan sekadar model edisi khas, malah sebuah model moden klasik berprestasi tinggi yang dibangunkan untuk pengalaman tunggangan lebih mengujakan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here