
Triumph Motorcycles memperkenalkan Trident 800 serba baharu. Motosikal naked roadster kelas pertengahan (middleweight) ini direka khas untuk menyajikan prestasi mendebarkan, gaya urban yang dinamik dan pengalaman tunggangan yang penuh tenaga.
Dengan penampilan yang kompak, sasa dan gaya ringkas, Trident 800 membawa dimensi yang lebih berani dalam barisan model roadster Triumph.
Enjin Tiga Silinder Serba Baharu
Nadi Trident 800 adalah enjin tiga silinder (triple) 798cc serba baharu yang dibangunkan untuk memberikan pengalaman yang mengujakan.
Ia menghasilkan kuasa segera pada setiap gear, dengan tork yang kuat dan kuasa maksimum yang memuncak sehingga 11,500 rpm.
Enjin ini menghasilkan 115 ps pada 10,750 rpm dan tork puncak 84Nm pada 8,500 rpm. Tork julat pertengahan yang mengujakan disertakan dengan bunyi enjin yang garang.
Bunyi Trident terhasil melalui tiga badan pendikit, kotak udara dan corong pengambilan yang direka semula untuk aliran udara dan bunyi yang optimum.
Enjin ini dilengkapi dengan aci engkol tempa berpintal (twist-forged), aci sesondol dan pengimbang unik, rod penyambung tempa dan omboh mampatan tinggi, semuanya untuk memaksimumkan prestasi dan ketahanan.
Pengendalian Tangkas dan Spesifikasi Tinggi
Trident 800 dibangunkan untuk keseronokan yang serius.
Casis ringan dan sistem suspensi Showa boleh laras berspesifikasi tinggi memberikan pengendalian yang tajam, ketangkasan dan kawalan penuh keyakinan.
Bar hendal lebar, kerangka kompak dan kedudukan tunggangan meyakinkan menghasilkan sebuah motosikal yang bertindak balas segera kepada setiap input, mudah melayan selekoh dan kekal stabil pada kelajuan.
Berat basah (fully fuelled) hanya 198 kg, dipadankan dengan tayar Michelin yang mencengkam, menjadikannya ringan dan sedia untuk mengukir senyuman buat penunggang.
Di bahagian hadapan, fork terbalik Showa 41mm (SFF-BP) dilengkapi fungsi omboh besar dan fungsi redaman berasingan, serta larasan mampatan dan lantunan.
Penyerap hentak Showa di belakang pula mempunyai larasan prabeban dan lantunan.
Brek hadapan menggunakan angkup jejari empat omboh berkembar yang mencengkam cakera 310 mm dan hos keluli jalinan (braided) untuk kuasa hentian yang kuat dan progresif.
Teknologi Canggih Berfokuskan Penunggang
Trident 800 dilengkapi teknologi pintar yang meningkatkan tunggangan tanpa mengganggu fokus penunggang.
Tiga mod tunggangan (Road, Sport, dan Rain) melaraskan tindak balas pendikit dan kawalan cengkaman mengikut keadaan jalan.
Kawalan ABS dan Kawalan Cengkaman yang dioptimumkan untuk selekoh adalah sensitif kepada sudut condong motosikal, memberikan keyakinan dan kawalan yang lebih baik semasa membelok.
Sistem menggunakan data masa nyata untuk melaraskan brek dan penyaluran kuasa berdasarkan sudut condong motosikal.
Kuasa disalurkan melalui kotak gear enam kelajuan yang lancar, dengan Triumph Shift Assist membolehkan penukaran gear naik dan turun tanpa menggunakan klac untuk pecutan lancar.
Ciri kawalan jelajah (cruise control) turut ditawarkan untuk perjalanan yang lebih jauh.
Sistem My Triumph Bluetooth membolehkan kawalan muzik, panggilan dan navigasi belok demi belok melalui suis sebelah kiri, dengan maklumat dipaparkan pada skrin warna TFT 3.5 inci.
Sistem lampu LED, termasuk lampu hadapan bulat yang menonjol dengan Lampu Nyalaan Siang (DRL) signatur dan lampu belakang bersepadu, memastikan Trident 800 sentiasa menyerlah.
Gaya Naked yang Penuh Karakter
Dari segi reka bentuk, Trident 800 tampil garang dan menonjolkan kekuatan.
Reka bentuk naked motosikal ini menggabungkan permukaan tajam dengan garisan lembut untuk mencipta profil yang atletik dan berwibawa.
Tangki bahan api 14 liter yang lebar bersambung kemas ke tempat duduk berkontur dan unit ekor yang langsing.
Sementara itu, penyenyap (silencer) pendek yang menaik dan penyangkut plat nombor yang minimalis memastikan bahagian belakangnya kemas dan berfokus.
Setiap perincian Trident 800 dikemaskan untuk memberikan sentuhan premium.
Roda aloi aluminium tuangan ringan dalam kemasan emas yang menarik menyerlahkan gaya motosikal yang berani.
Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Ash Grey dengan perincian Diablo Red, Carnival Red dengan riasan Graphite dan Jet Black.
Terdapat juga rangkaian Aksesori Triumph Tulen seperti penyenyap ekzos Akrapovič.
Trident 800 kini tersedia untuk tempahan di pengedar Triumph di UK, bermula dari £9,195 (RM50,716).
Spesifikasi Utama Triumph Trident 800
- Enjin: 798 cc, sejukan cecair, 3 silinder, 12 injap, DOHC
- Kuasa Maks EC: 115 ps (113 bhp) @ 10,750 rpm
- Tork Maks EC: 84Nm @ 8,500 rpm
- Sistem Bahan Api: Suntikan bahan api elektronik berurutan Bosch Multipoint dengan kawalan pendikit elektronik. 3 mod penunggang (Rain, Road, Sport)
- Kotak Gear: 6 kelajuan, dengan Triumph Shift Assist
- Klac: Basah, berbilang plat, gelincir & bantu (slip & assist)
- Kerangka: Kerangka perimeter keluli tiub
- Suspensi Hadapan: Fork terbalik Showa 41 mm (SFF-BP), boleh laras mampatan & lantunan, 120 mm jarak
- Suspensi Belakang: Monoshock Showa RSU, dengan pelarasan prabeban dan lantunan, 130 mm jarak
- Brek Hadapan: Cakera terapung berkembar Ø310 mm, angkup jejari 4-omboh, OCABS (Optimised Cornering ABS)
- Brek Belakang: Cakera tetap tunggal Ø220 mm, angkup omboh tunggal, OCABS
- Tayar Hadapan: 120/70 R 17
- Tayar Belakang: 180/55 R 17
- Tinggi Tempat Duduk: 810 mm
- Jarak Roda: 1402 mm
- Berat Basah (Wet Weight): 198 kg
- Kapasiti Tangki: 14 liter
- Selang Servis: 10,000 batu (16,000 km) / 12 bulan
- Penggunaan Bahan Api: 4.7 l/100km









































