Isuzu D-MAX dengan enjin 1.9 Ddi Blue Power baharu ialah trak pikap EEV pertama

3028

Isuzu d-max blue power serba baharu telah tiba, dilancarkan oleh Isuzu Malaysia hari ini. Trak pikap itu ditawarkan dalam 11 varian dengan harga bermula pada RM80,149.20 untuk 4X2 Low Ride sehingga RM121,038.40 untuk 4X4 AT Premium.

D-MAX ini mendapat enjin diesel serba baharu 1.9-liter Ddi Blue Power yang menggantikan enjin 2.5-liter 4JK1-TCX sebelum ini.



Walaupun hanya berkapasiti 1.9-liter, enjin ini menjana 10 peratus lebih kuasa dan 9 peratus lebih tork. Outputnya kini ialah 150PS dan 350Nm tork.

Ini dicapai dengan komponen dalam bertekanan tinggi yang direka semula dan diperkukuh. Enjin ini dibangunkan untuk menjadi cekap bahan api, lebih senyap dan mempunyai ketahanan lebih baik. Ia juga kini 56kg lebih ringan.

Dengan itu, enjin Ddi Blue Power ini menjadikan D-MAX trak pikap pertama di Malaysia untuk mendapat penarafan UN Regulation 101 dan Energy Efficient Vehicle (EEV) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Untuk memanfaatkan sepenuhnya kemampuan enjin ini, Isuzu telah membangunkan juga transmisi baharu, iaitu manual 6-kelajuan dan automatik 6-kelajuan.

Transmisi ini menawarkan nisbah lebih rapat untuk pecutan lebih baik dan dua nisbah teratas dioptimakan untuk rasa meluncur yang selesa.

Bahagian luaran telah diperkemaskan dengan lampu bi-LED baharu, gril depan baharu, kemasan di lampu kabus depan, rim 18-inci baharu, cermin sisi berkuasa, lencana “Blue Power Ddi” dan beberapa pelekat badan di tepi dan tailgate.

Juga baharu di tailgate ialah Tailgate Assist, dengan mekanisma untuk memudahkan pembukaan dan penutupan pintu ini. Ciri ini adalah pilihan tambahan berharga RM650.

Sementara itu, pembaharuan di dalam kabin adalah bahan-bahan lembut di bahagian seperti papan pemuka dan panel dalam pintu, kemasan hitam baharu, port USB untuk penumpang belakang dan rekaan tempat duduk baharu dengan kombinasi fabrik dan kulit.

Ciri keselamatan

Ciri keselamatan pada Isuzu D-MAX baharu ini terdiri dari Hill Descent Control dan Vehicle Launch Assist Control baharu yang meningkatkan tork awal di permukaan curam 25 peratus atau lebih.

Ciri biasa juga ada, termasuklah ABS, EBD, Hill Start Assist, Electronic Stability Control, Traction Control, kamera undur, pengesan undur dan sistem sekuriti.

Pelanggan yang membeli Isuzu D-MAX dari rangkaian 1.9 Blue Power bermula hari ini hingga 31 Oktober layak menikmati pakej jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan pakej penyelenggaraan percuma sehingga 8 tahun (tertakluk kepada terma dan syarat).

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here