Nissan Almera arah bertentangan elak babi, penunggang motor Kawasaki maut

438

Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di hospital selepas lima jam bertarung nyawa selepas terlibat kemalangan nahas kenderaan arah bertentangan mengelak babi melintas di KM11, Jalan Bahau-Rompin, Jempol, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang merupakan peneroka warga emas, Mohamad Noor Ibrahim, 61, beralamat di Felda Serting Hilir 3, disahkan meninggal dunia di Zon Merah, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, kemalangan berlaku kira-kira jam 10 malam melibatkan dua buah kenderaan iaitu Nissan Almera dipandu oleh seorang lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai tukang masak dan motor Kawasaki yang ditunggang mangsa.



Siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan balik dari arah Bahau ke Batu Pahat, Johor, manakala motosikal dari arah Rompin hendak ke Bahau.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang bergerak terus dipercayai cuba mengelak dari haiwan di jalan yang menyebabkan kereta telah masuk sedikit ke laluan bertentangan.

“Pada masa yang sama datang motosikal dari arah bertentangan lalu bergesel dan melanggar sisi kanan kereta hingga menyebabkan mangsa serta motosikalnya telah jatuh terseret ke bahu jalan.

“Akibat dari pelanggaran tersebut, penunggang motosikal telah mengalami kecederaan parah dan telah dibawa ke HTAN bagi menerima rawatan manakala pemandu kereta tidak mengalami apa-apa kecederaan,” katanya.

Tambahnya, kira-kira jam 3.15 pagi keesokan harinya, polis telah menerima panggilan dari hospital mengatakan mangsa disahkan telah meninggal dunia.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here